24 Julai 2010

Buatmu da'ie - Dr. Abdul Hamid Kusyk..

Assalamu'alaikum w.b.t.



       Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga baginda, para sahabat serta seluruh umat Islam yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

            Dikesmpatan kali ini, ana ingin berkongsi dengan sidang pembaca dengan membawa  ungkapan Dr. Abdul Hamid Kusyk berkaitan dengan kaitan iman dan da'ie.



Saudara seagama!

            Sesungguhnya membina mahligai, gedung-gedung dan pencakar-pencakar langit itu adalah suatu perkara yang mudah bergantung kepada kemahiran di bidang senibina. Tetapi alangkah sulitnya membina jiwa kerana pembinaanya itu merupakan salah satu rahsia yang hanya dapat dicapai oleh orang-orang yang penyabar, yang berpegang teguh kepada Allah dan ikhlas beragama untuk Allah.

Kerja membentuk dan membina jiwa itu adalah merupakan tugas para Nabi, matlamat orang-orang yang ikhlas dan merupakan suatu perniagan dengan Allah bagi setiap orang yang menyeru ke jalan Allah, yang beramal soleh dan mengucapkan kata-kata: Aku adalah dari golongan kaum muslimin!

Kerana itulah maka pembentukan dan pembinaan jiwa berasaskan kebenaran dan pensuciannya melalui amalan kebaikan merupakan suatu tuntutan yang amat besar dan matlamat tertinggi lagi mulia.

Pada suatu hari, Amirul Mukminin Saidina Umar ibn al-Khattab r.a. berdiri di dalam masjid Nabi dan berkata kepada beberapa orang sahabat, “Cubalah setiap seorang di antara kamu memberitahuku tentang keinginannya yang paling besar dalam hidup ini!

Salah seorang di antara mereka menjawab, “Aku ingin miliki emas sebesar gunung Uhud yang boleh aku belanjakan untuk jalan Allah.” Yang lain berkata, “Aku ingin memiliki kuda sepenuh Kota Madinah agar dapataku gunakan untuk berperang ke jalan Allah.” Sementara orang yang ketiga pula berkata, “Aku ingin mempunyai seribu orang hambasahaya yang boleh aku merdekakan semata-mata bagi mendapatkan keredhaan Allah.” Masing-masing yang lain turut menyatakan apa yang diinginkannya, sementara Amirul Mukminin mengendalikan perbincangan sesame mereka itu. Kemudian mereka pun berpaling kepada Saidina Umar dan bertanya, “Dan apakah pula yang menjadi keinginan tuan, wahai Amirul Mukminin?

Umar ibn al-Khattab lalu menjawab, “Aku inginkan masjid ini dipebuhi orang-orang seperti Abu Bakar as-Siddiq!

Semoga Allah memuliakan, wahai Umar! Sungguh tepat kata-katamu. Engkau telah menginginkan sesuatu yang amat besar. Orang-orang seperti Abu Bakar adalah dari golongan yang berjiwa aman dan tenteram dan berhati naluri yang celik. Merekalah yang memenuhkan alam sejagat dengan keamanan, sejahtera, kasih sayang, perpaduan, penghormatan dan kemulian kerana matlamat mereka ialah kebenaran manakala tujuan akhir mereka ialah kebajikan. Pedoman mereka al-Quran dan guru mereka ialah Rasulullah s.a.w. Mereka merupakan jiwa-jiwa yang berasaskan kepada mentauhidkan Allah dan tingkah laku mereka ialah mematuhi Allah semata-mata.

Firman Allah:

وَمَنْ أَرَادَ الآخِرَةَ وَسَعَى لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَئِكَ كَانَ سَعْيُهُم مَّشْكُوراً

Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mu'min, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik.
(Surah al-Isra’: 19)

            Alangkah besarnya peranan iman di dalam pembentukan jiwa dan peribadi. Alangkah mulianya tugas tauhid dalam meluruskan dan menegakkan jiwa.

Firman Allah yang bermaksud:
  
(7)Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya); (8).Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan Yang membawanya kepada kejahatan, dan Yang membawanya kepada bertaqwa; -(9). Sesungguhnya berjayalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), (10) Dan Sesungguhnya hampalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
(Surah as-Syams: 7-10)

            Ya Allah, kami mohon dari-Mu kebaikan di dunia dan di Akhirat, pemeliharaan dari setiap kesalah, keselamatan dari setiap dosa, dan keuntungan dari setiap kebaikan.


(Dipetik daripada: Islam membina jiwa manusia - Dr. Abdul Hamid Kusyk)

0 comments:

Catat Ulasan

.::coretan kehidupan seorang hamba mencari keredhaan ILAHI::. Copyright © 2011 | Template created by O Pregador | Powered by Blogger