Memaparkan catatan dengan label nasihat... Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label nasihat... Papar semua catatan

25 Julai 2010

Peringatan buat kaki blog...!

Assalamu’alaikum w.b.t.

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga baginda, para sahabat, para tabi’in dan seluruh umat Islam yang meneruskan mata rantai perjuangan baginda s.a.w. sehingga ke hari akhirat.

Ayyuhal Ikhwah wal akhawat,

            Ana merasa terpanggil untuk membicarakan suatu topik yang mungkin kita terlupa dek keseronokan dalam meluahkan segala permasalahan yang dihadapi melalui blog atau ICT yang dianugerahkan Allah ini.

            Apa yang ana nyatakan khusus kepada kaki blog dan pengguna ICT amnya. Ana melihat dalam keadaan kita seronok menjadikan ruangan kemudahan ICT untuk meluahkan perasaan perlunya kita menyedari akan batas-batas larangan Islam. Ini khususnya berkaitan dengan ajaran Islam yang mengajar kita supaya memelihara akan maruah orang lain.

            Ana sangat tidak bersetuju kalau kita menjadikan kemudahan blog ini untuk meluahkan perasaan kita sehinggakan kita tidak mengambil peduli akan perihal maruah seseorang. Jangan menyebabkan kita tidak bersetuju dengan seseorang atau sekolompok manusia menyebabkan kita mendedahkan segala perihal yang tidak baik mereka diruangan blog ini. Cukuplah sekadar kita yang tidak puas hati dan simpan ia sekadar dalam hati dan jika boleh dimaafi, perbuatan tesebut lebih digalakkan dalam Islam.

            Blog adalah ruangan bebas. Jika kita mencatatkan kesalahan-kesalahan ataupun aib-aib individu yang kita tidak puas hati dengannya, maka aibnya akan tersebar dan diketahui oleh masyarakat umum. Ana merasakan, ada molek jika kembali bertanya: “Sebenarnya apakah tujuan kita mengadakan blog?Apakah ianya kerana Allah dan Rasul? Persoalan asas ini mesti dijawab oleh setiap daripada kita (kaki blog) kerana ianya akan menentukan perjalanan blog. Ini bukannya soal remeh temeh, jika persoalan ini tidak dijawab, ianya melibatkan 2 keadaan:

1)Perbuatan kita mencipta blog adalah sia-sia.
2)Ada kemungkinan, blog kita inilah yang akan menghumbangkan tuannya ke neraka Allah Azza wa Jalla. (Na’uzubillahi min zalik)

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيراً مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضاً أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتاً فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ


 “Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
(Surah al-Hujurat: 12)

            Seorang mukmin sentiasa akan melindungi dan menyembunyikan keaiban orang-orang Islam serta menjaga rahsia mereka sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Tiada seorang hambapun yang menutupi cela seseorang hamba yang lain di dunia melainkan dia akan ditutupi celanya oleh Allah pada hari kiamat kelak.
(Hadis riwayat Muslim)

Di antara tanda kesempurnaan Islam seseorang ialah apabila dia meninggalkan perkara yang tidak berkait dengannya, (Yakni yang tidak memberikan kemanfaatan kepadanya di dunia mahupun akhirat)
(Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Ayuhkan kita jadikan blog kita sebagai saham untuk bekalan akhirat...

Wallahua’lam..

24 Julai 2010

Rahsia zuhud di sisi Taqiyuddin Hasan al-Bashri...

Assalamu’alaikum w.b.t.

            Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat serta mereka yang meneruskan mata rantai perjuangan baginda s.a.w. sehingga ke hari akhirat.

            Ramai manusia tercari-cari akan petua dan bagaimana kaedahnya untuk menjdi seorang zahid bagi meraih cinta Allah s.w.t. Pelbagai petua atau kaedah yang dicadangkan oleh para masyaikh. Namun begitu, ana tertarik dengan empat perkara yang diungkapkan dan diamalkan oleh Taqiyuddin Hasan Al-Bashry r.a berkaitan dengan zuhud.

            Ditanya kepada Taqiyuddin Hasan al-Bashry r.a.: “Apakah rahsia zahid tuan mengenepikan dunia?

            Beliau menjawab: “Empat perkara: Aku tahu yang rezekiku tidak akan diambil orang lain, maka hatiku pun menjadi tenteram dan lapang. Aku tahu bahawa amalanku tidak dibuat oleh orang lain, maka aku pun terus mengamalkannya. Aku tahu bahawa Allah sentiasa mengawasiku, lalu aku pun merasa malu jika Dia mendapatiku melakukan maksiat. Dan aku tahu bahawa maut sentiasa menantiku, lalu aku pun menyediakan bekalan untuk mengadap Allah.

(Dipetik daripada: Islam membina jiwa manusia – Dr. Abdul Hamid Kusyk)

Moga ianya bermanfaat kepada kita semua..

Wallahua’lam..

Bilakah kemenangan bagi umat Islam akan kunjung tiba?

Assalamu’alaikum w.b.t.

            Alhamdulillah, selawat & salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga baginda, para sahabat serta seluruh umat Islam yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

            Apa yang ana ingin kongsikan kali ini, bilakah kemenangan yang Allah s.w.t. janjikan akan kunjung tiba bagi umat Islam? Kebanyakan daripada kita telah lama merasai kepahitan yang tak pernah padam berikutan peristiwa demi peristiwa yang menimpa umat Islam. Apatah lagi kini bagi umat Islam di bumi Palestin khasnya, dan umat Islam seluruh dunia amnya. Kegelapan semakin memekat dan keperitan tidak tertanggung lagi, keadaan umat Islam semakin hari semakin buruk.

            Peristiwa kecelakaan yang menimpa umat Islam yang kita dengar dan kita saksikan bukannya berlaku dalam tempoh masa 100 atau 200 tahun kebelakangan ini bahkan berabad-abad lamanya sebelum daripada ini. Kita mendengar daripada sirah umat-umat yang terdahulu, ada dikalangan mereka (umat Islam) yang digergaji kepala mereka sehingga terbelah dua akibat memeluk dan mempertahankan Islam, diseksa, dianiaya, dan sebagainya.

            Pernah beberapa kali dalam perkongsian ilmu yang ana sampaikan kepada masyarakat, seorang lelaki yang lanjut usianya menanyakan kepada ana: “Kita menyaksikan umat Islam terus menerus diuji dengan pelbagai peristiwa yang menyayat hati dan seringkali ditindans serta diperkotak-katikkan…Bilakah kita (umat Islam) akan menang?” (mafhum daripada soalan yang ditanya)..

            Ya, kadang-kadang hati kecil kita sering tertanya-tanya bilakah lagi Islam akan menang? Bilakah lagi kemenangan yang Allah janjikan kepada hambaNya akan kunjung tiba? Apakah di sana tiada kemanisan bagi umat Islam berada dalam keadaan aman dan memerintah bumi ini? Soalan demi soalan yang bermain dalam sanubari kita selaku (umat Islam)..

Firman Allah dalam al-Quran:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Surah al-Angkabut: 1&2)


وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِن بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ 
  
Dan Demi sesungguhnya, Kami telah tulis di Dalam Kitab-kitab Yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu Yang soleh.
(Surah al-Anbiya’: 105)

            Namun persoalannya, apakah generasi kita sudah layak untuk menerima kemenangan daripada Allah? Dan adakah keadaan kita sudahpun bertepatan dengan ciri-ciri hamba Allah yang telah dijanjikan buat mereka kekuasaan di muka bumi ini?

            Jawapannya ada pada diri kita dan umat Islam sekeliling kita setelah mana kita merenung dan menghitung kembali, bagaimana keadaan kita. Apakah keadaan kita hari ini menunjukkan bahawa kita termasuk dalam syarat-syarat kemenangan yang Allah s.w.t. janjikan itu?

Ayuh kita sama-sama hitung diri kita dan penuhi syarat-syarat kemenangan yang dijanjikan Allah kepada hambaNya...

Wallahua’lam...

22 Julai 2010

Menjadi hamba Allah yang berskala besar...

Assalamu’alaikum w.b.t.

            Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat serta mereka yang meneruskan mata rantai perjuangan baginda s.a.w. sehingga ke hari akhirat.

            Dikesempatan kali ini, ana ingin mengajak para pembaca untuk sama-sama kita menjadi seorang hamba Allah yang berskala besar. Namun apakah yang dimaksudkan dengan ‘hamba Allah yang berskala besar’ itu?

            Apa yang ana maksudkan dengan ‘hamba Allah yang berskala besar’ adalah mereka yang berfikir dan melakukan sesuatu perkara untuk jangka masa yang panjang. Apa yang mereka fikirkan dan laksanakan sekarang adalah untuk kepentingan, kemudahan dan kesenangan untuk hari akhirat nanti.

            Bagaimana Islam mengajar kepada penganutnya supaya sentiasa berfikir dan beramal untuk kehidupan sesudah mati. Ini dinyatakan dalam sebuiah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Orang yang berakal ialah orang yang sentiasa memuhasabah dirinya dan beramal untuk sesudah mati manakala orang yang tidak berakal ialah orang yang sentiasa menurut hawa nafsunya dan mengharapkan pengampunan daripada Allah.
(Hadith riwayat Tirmizi: Hasan)

            Begitu juga dalam kitab “Apa Ertinya Saya Menganut Islam?”, Ustaz Fathi Yakan r.h. menyatakan kepada kita bahawa manusia tergolong daripada 3 kumpulan, iaitu:

1)      Golongan yang hidup untuk dunia
2)      Golongan yang sesat di antara dunia dan akhirat
3)      Golongan yang menjadikan dunia sebagai ladang akhirat

Jika kita perhatikan kepada golongan yang dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan r.h. sepastinya golongan yang ketiga adalah golongan yang paling berjaya. Mereka menjadikan dunia sebagai ladang untuk bercucuk tanam supaya hasilnya dapat dipungut di saat manusia sibuk meminta dengan tuhan agar dikembali ke dunia untuk bercuck tanam (beramal).

Allah berfirman:


وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُؤُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحاً إِنَّا مُوقِنُونَ

Dan (sungguh ngeri) sekiranya Engkau melihat ketika orang-orang Yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, Kami telah melihat dan mendengar Dengan sejelas-jelasnya (akan Segala Yang Kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah Kami ke dunia supaya Kami mengerjakan amal-amal Yang baik; Sesungguhnya Kami sekarang telah yakin”.
(Surah as-Sajdah: 12)

            Al-Imam Taqiyuddin atau dengan gelarannya Ibnu Daqiqul ‘Aid pernah menyatakan suatu ungkapan yang hebat tentang dirinya:

Aku tidak akan bercakap dengan suatu percakapan pun dan aku tidak akan berbuat sesuatu pun melainkan di sisiku mempunyai jawapan untuk aku jawab di hadapan Allah Azza wa Jalla.

Oleh itu, ana ingin mengajak diri ana dan sahabat-sahabat sekalian..Ayuh kita menjadi hamba Allah yang berskala besar dalam dalam segala gerak-geri mahupun tindakan kita.

Wallahua’lam..

.::coretan kehidupan seorang hamba mencari keredhaan ILAHI::. Copyright © 2011 | Template created by O Pregador | Powered by Blogger