07 November 2009

KEKALUTAN YANG AMAT...

Abang syed! Abang syed! Aku tersedar dari lamunan. Suara yang amatku kenali sejak kecil sedang memanggil-manggil namaku. Sepastinya orang yang memanggilku adalah ummi (ibuku). Abang syed adalah nama panggilanku di rumah. “Cepat angkat barang-barang ni, ummi takut tak sempat…kali ni air naik dengan pantas…” Ujar ummiku. Tanpa berlengah aku membantu ummiku mengangkat barang-barang agar tidak ditenggelami air. Jam 3.00 p.m.ruang tamu rumahku dapat ditawan oleh air yang bergerak pantas. Aku sempat melemparkan pandanganku ke luar rumah. Orang ramai berpusu-pusu membawa barangan mereka ke tempat yang selamat daripada di ‘mamah’air. Masing-masing dengan urusan sendiri. Selesai sahaja membantu ummiku memindahkan barangan ke tingkat atas rumahku, aku segera membantu bapa-bapa saudaraku yang sedang khusyuk menyusun kayu untuk di bawa ke tempat yang selamat. Keluarga kami memiliki satu syarikat perabot yang diusahakan oleh adik-beradik ayahku. Syarikat inilah yang menyatukan keluarga kami kerana sebilangan besar (90%) adik- beradik ayahku bekerja dengan syarikat ini. Selain itu, syarikat ini jugalah yang bamyak berjasa dan membantuku meneruskan pembelajaranku dan adik-adikku. Sekaligus, timbul perasaan bangga dalam diriku terhadap ayahku yang berjaya menubuhkan satu syarikat walaupun pendidikan beliau tidaklah seberapa.

Jam 5.00 p.m. paras air d tingkat bawah rumahku setinggi paras paha. Ketika itu aku masih lagi berada dalam air untuk memindahkan pasu-pasu bunga kesayangan ummiku. Timbul bibik-bibik rasa mengeluh terhadap apa yang berlaku namun perasaan itu segera terhapus bila mana aku teringat satu peringatan daripada Rasul SAW yang sangat terkesan dalam diriku.

Maksud hadis tersebut:
Abu Dzar Al-Ghifari telah mengatakan:”Aku telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Apakah yang terkandung dalamSuhuf Musa a.s? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Kesemua Suhuf Musa adalah pengajaran; Aku hairan (melihat) orang yang yakin terhadap kematian, kemudian beliau (masih) bergembira. Aku hairan (melihat) orang yang yakin terhadap neraka, kemudian beliau masih ketawa. Aku hairan (melihat) orang yang yakin terhadap qadar ketentuan Allah, kemudian beliau masih kecewa. Aku hairan (melihat) orang yang melihat bagaimana dunia memutar-belitkan penghuninya, kemudian beliau masih tenanghati terhadap dunia. Aku hairan (melihat) orang yang yakin terhadap wujudnya hari hisab, kemudian beliau (masih) tidak beramal.”
(Hadis riwayat Ibn Hibban)

Firman Allah s.w.t:
Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Surah Al-Angkabut : 2)

Pada hari ini, aku merasakan kekalutan yang amat bukan sahaja diriku tetapi seluruh manusia yang diuji oleh penciptanya. Aku juga berpandangan, mungkin Allah mahu melihat siapakah dikalangan hambaNya yang terbaik amalan mereka. Selesai sahaja solat maghrib, aku berehat seketika dengan melabuhkan badanku di atas tilam. Saat itu, aku mersakan seolah-olah tanganku telah patah dan seluruh uratku menegang. Sakitnya tidak terperi, hanya Allah yang tahu. Mungkin kesan daripada persediaanku menyambut banjir kali ini. Semoga dengan kehadiran banjir kali ini, bukan sahaja sampah sarap yang di bawa arus deras tapi disertakan sekali dosa-dosaku dan keluargaku serta umat Islam keseluruhannya. Kalau di Filipina, Allah uji dengan taufan yang dahsyat, Padang pula Allah uji dengan gempa bumi yang hebat. Namun di Malaysia Allah uji dengan banjir yang entah dari mana datangnya air yang sedemikian banyaknya. Ala kullihalnya, semua itu tidak mustahil bagi Allah bahkan hal yang sama malah lebih dahsyat lagi pernah berlaku pada zaman Nabi Allah Nuh a.s.

Moga apa yang baik daripada perkongsian ini kita ambil sebagai tauladan dan mana yang buruk kita jadikan sempadan.

0 comments:

Catat Ulasan

.::coretan kehidupan seorang hamba mencari keredhaan ILAHI::. Copyright © 2011 | Template created by O Pregador | Powered by Blogger