Assalamu’alaikum w.b.t.
Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat serta mereka yang meneruskan mata rantai perjuangan baginda s.a.w. sehingga ke hari akhirat.
Dikesempatan kali ini, ana ingin mengajak para pembaca untuk sama-sama kita menjadi seorang hamba Allah yang berskala besar. Namun apakah yang dimaksudkan dengan ‘hamba Allah yang berskala besar’ itu?
Apa yang ana maksudkan dengan ‘hamba Allah yang berskala besar’ adalah mereka yang berfikir dan melakukan sesuatu perkara untuk jangka masa yang panjang. Apa yang mereka fikirkan dan laksanakan sekarang adalah untuk kepentingan, kemudahan dan kesenangan untuk hari akhirat nanti.
Bagaimana Islam mengajar kepada penganutnya supaya sentiasa berfikir dan beramal untuk kehidupan sesudah mati. Ini dinyatakan dalam sebuiah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Orang yang berakal ialah orang yang sentiasa memuhasabah dirinya dan beramal untuk sesudah mati manakala orang yang tidak berakal ialah orang yang sentiasa menurut hawa nafsunya dan mengharapkan pengampunan daripada Allah.”
(Hadith riwayat Tirmizi: Hasan)
Begitu juga dalam kitab “Apa Ertinya Saya Menganut Islam?”, Ustaz Fathi Yakan r.h. menyatakan kepada kita bahawa manusia tergolong daripada 3 kumpulan, iaitu:
1) Golongan yang hidup untuk dunia
2) Golongan yang sesat di antara dunia dan akhirat
3) Golongan yang menjadikan dunia sebagai ladang akhirat
Jika kita perhatikan kepada golongan yang dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan r.h. sepastinya golongan yang ketiga adalah golongan yang paling berjaya. Mereka menjadikan dunia sebagai ladang untuk bercucuk tanam supaya hasilnya dapat dipungut di saat manusia sibuk meminta dengan tuhan agar dikembali ke dunia untuk bercuck tanam (beramal).
Allah berfirman:
وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُؤُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحاً إِنَّا مُوقِنُونَ
“Dan (sungguh ngeri) sekiranya Engkau melihat ketika orang-orang Yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, Kami telah melihat dan mendengar Dengan sejelas-jelasnya (akan Segala Yang Kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah Kami ke dunia supaya Kami mengerjakan amal-amal Yang baik; Sesungguhnya Kami sekarang telah yakin”.
(Surah as-Sajdah: 12)
Al-Imam Taqiyuddin atau dengan gelarannya Ibnu Daqiqul ‘Aid pernah menyatakan suatu ungkapan yang hebat tentang dirinya:
“Aku tidak akan bercakap dengan suatu percakapan pun dan aku tidak akan berbuat sesuatu pun melainkan di sisiku mempunyai jawapan untuk aku jawab di hadapan Allah Azza wa Jalla.”
Oleh itu, ana ingin mengajak diri ana dan sahabat-sahabat sekalian..Ayuh kita menjadi hamba Allah yang berskala besar dalam dalam segala gerak-geri mahupun tindakan kita.
Wallahua’lam..
0 comments:
Catat Ulasan