27 Julai 2010

Hakikat menjual diri...

Assalamu’alaikum w.b.t.

            Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat serta mereka yang meneruskan mata rantai perjuangan baginda s.a.w. sehingga ke hari akhirat.

            Barangsiapa yang mahukan syurga, maka hendaklah ia menjual dirinya kepada Allah. Jual beli ini tidak dapat disempurnakan melainkan apabila ia dapat mengalahkan nafsunya dan mengheretnya supaya tunduk kepada Allah. Dari situ, kita dapat melihat segala gerak dan diamnya, bangun dan duduknya, adalah kerana Allah s.w.t. semata-mata dan bukan lagi untuk memuaskan nafsunya. Firman Allah s.w.t:

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata...
(al-Baqarah: 207)

            Ayat ini telahpun dibuktikan oleh Suhaib ar-Rumi radhiallahu anhu, ketika mana dia telah meninggalkan harta dan rumahnya kepada kaum musyrikin di Mekah supaya dapat digantikan dengan keizinan untuk berhijrah, dia tidak meninggalkan kesemua yang menjadi miliknya itu melainkan kerana dia telah pun menjual dirinya kepada Allah (demi mencari keredhaanNya). Hal ini diketahui oleh Rasulullah s.a.w, lantas baginda bersabda: “Untunglah Suhaib! Untunglah Suhaib!”

            Justeru itu, matlamat berjihad menentang hawa nafsu ialah supaya dapat menguasainya lalu menjualnya kepada Allah. Manakala bukti kebenaran dan keikhlasan jual beli ini pula ialah dengan bersegera untuk berkorban demi mencapai keredhaan Allah s.w.t.  sebagaimana firmanNya:

Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
(as-Soff: 10-11)

Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang di jalan Allah; maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil serta al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
(at Taubah: 111)

            Kesimpulannya, tidak ada kebaikan bagi umat ini melainkan setelah baiknya individunya; dan individu pula tidak akan baik melainkan dengan memperbaiki nafsu di dalam diri. Ini kerana, nafsuadalah salah satu di antara penyebab kebinasaan, kesesatan dan kehancuran seperti yang diperingatkan oleh Allah dalam al-Quran:

...Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya melampau batas.
(al-Kahf: 28)

Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikitpun.
(al-Qasas: 50)

Manakala jihad melawan hawa nafsu pula ada empat peringkat:

1)     Melawannya dengan mempelajari ajaran Allah dan RasulNya, kerana ia adalah bekalan utama untuk memperolehi kejayaan hidup di dunia dan kemenangan di alam akhirat nanti.
2)     Melawannya dengan cara melakukan amal ibadah berasaskan kepada ilmu yang dipelajari tadi, kerana ilmu yang telah dipelajari dan tidak diamalkan tidak akan memberikan banyak manfaat bagi dirinya.
3)     Melawannya dengan cara menyeru dan berdakwah kepada orang lain akan ajaran Islam;  jika tidak mengajarkan kepada orang lain ia akan termasuk dalam golongan orang-orang  yang menyembunyikan wahyu yang telah diturunkan oleh Allah untuk kepentingan seluruh manusia.
4)     Melawannya dengan bersikap sabar menghadapi kesusahan dan kesulitan serta gangguan manusia dalam menjalankan usaha-usaha dakwah di jalan Allah.

Apabila keempat-empat martabat ini dapat dilakukannya secara baik, maka dia akan menjadi salah seorang yang bersifat al-Rabbaniyyin (iaitu orang-orang yang mengerti dan memahami ajaran yang hak, kemudian menagamalkan dan mengajarkan kepada orang lain.

Barang siapa yang memiliki ilmu, kemudian mengamalkan dan mengajarkannya kepada orang lain maka akan mendapat gelaran yang mulia pada pandangan makhluk-makhluk yang berada di langit.

Sekian untuk perkongsian pada kali ini...
Wallahua’lam...

(Sumber: Menuju personaliti rabbani – Dr. Majdi al-Hilali & Fiqh Aulawiyyat – Prof. Dr. Yusuf Abdullah al-Qardhawi)

0 comments:

Catat Ulasan

.::coretan kehidupan seorang hamba mencari keredhaan ILAHI::. Copyright © 2011 | Template created by O Pregador | Powered by Blogger