Peringatan berharga bagi umat Islam..!
الحمد لله الذى هدنا لهذا وما كنا لنهتدي لو لا ان هدانا الله, اشهد ان لا اله الّا الله وحده لا شريك له, واشهد انّ محمدا عبده ورسوله, اللهم صلّ وسلّم وبارك على آله وصحبه والتابعين الى يوم الدين, اما بعد, يا ايها الذين امنوا اتّقوا الله حقّ تقاته, ولا تموتنّ الّا وانتم مسلمون.
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian.
Marilah kita mendengar amaran dari Allah s.w.t. di dalam al-Quranul Karim:
“Dan sesiapa yang berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dia akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti dalam keadaan buta, lalu dia berkata: Wahai Tuhan mengana engkau bangkitkan aku dalam keadaan buta, tidakkah aku dahulu dapat melihat? Tuhan berfirman: Sebenarnya telah datang kepada kamu peringatanKu tetapi kamu melupakannya, maka pada hari ini kamu dilupakan.”
(Surah Thoha: 124-126)
Ayat-ayat al-Quran ini merupakan amaran yang keras dari Allah s.w.t. Di mana akibatnya telah dirasakan oleh sebahagian manusia pada hari ini, apabila mereka berpaling dari peringatan Allah s.w.t. Yang dimaksudkan dengan peringatan Allah s.w.t. itu ialah petunjuk Allah s.w.t. yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. yang terkandung di dalam ajaran Islam. Mereka berada di dalam kesesatan, dalam keadaan teraba-raba, tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang salah. Tidak memahami mana yang memberi manfaat dan mana yang memberi mudharat. Mereka hanyut bersama-sama ideologi-ideologi dan berbagai teori yang dicipta oleh mereka sendiri dengan menggunakan Akal yang disalahgunakan.
Walaupun mereka dikurniakan akal oleh Allah s.w.t. dan terdapat dikalangan mereka orang-orang yang bijak-pandai, apabila akal dipisahkan dari petunjuk Allah s.w.t, dipisahkan daripada Islam, maka akal tidak akan mampu mengetahui mana yang benar dan mana yang salah. Apabila akal itu tidak mendapat hidayah, tidak mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t. kerana manusia itu walaupun berakal, tergolong dalam golongan bijak pandai, mereka tetap mempunyai kelemahan sebagai makhluk Allah s.w.t. Di antaranya, perkara yang benar-benar memberi kebaikan kepada mereka dan menolak keburukan daripada mereka.
Apabila ada dikalangan manusia yang berbangga kerana memisahkan diri daripada agama Allah s.w.t, merasakan dirinya sudah cukup dengan kebijaksanaan, dengan ilmu yang sedikit, menolak agama Allah, maka dia tidak mengetahui kebaikan dari agama Allah itu. Matanya buta dari melihat perkara yang benar, sehingga dia merasakan kalau berpegang dengan Islam, dia akan menderita. Kalau berpandu kepada petunjuk Allah s.w.t. sukar mendapat kesenangan, kemewahan hidup yang diimpikan.
Mereka susah dengan kemewahan dan kesenangan itu kerana tidak ada berkat daripada kurnia yang sedikit di atas dunia ini apabila dipisahkan daripada petunjuk Allah s.w.t. Begitulah juga mereka yang berada dalam kemiskinan juga menderita dengan kemiskinan itu di samping kita melihat berlakunya keruntuhan akhlak, kepincangan budi pekerti manusia, apabila manusia tidak menilai baik dan buruk berdasarkan kepada nilai kemanusian yang serenar.
Mereka mengukur sesuatu mengikut hawa nafsu bukan mengikut yang sebenar dari Allah s.w.t, maka berlakulah keruntuhan akhlak, berlakulah perkara-perkara yang merendahkan martabat manusia, maksiat, kemungkaran di mana-mana. Mereka tidak boleh menyelesaikan masalah dan mereka mengada-adakan masalah serta mereka sentiasa mencari-cari cara yang direka oleh mereka sendiri, tidak lagi berpandukan kepada petunjuk Allah s.w.t.
Itulah kepincangan kehidupan dunia apabila manusia membutakan hatinya daripada melihat petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Apakah tidak cukup kepada umat Islam amaran yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. dan penjelasan yang diberi oleh Rasulullah s.a.w:
من احدث في امرنا هذا ما ليس منه فهو ردّ
“Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama kamu, dia bukan dari urusan agama kami, maka ia ditolak.”
Semua yang lain dari ajaran Islam ditolak oleh Allah s.w.t, tidak diterima oleh Allah s.w.t. dan segala yang lain dari Islam pasti membawa kesusahan , kesesatan dan penderitaan kepada manusia. Maka wajiblah bagi umat Islam mengingati Allah s.w.t, kembali kepada petunjukNya dan berpegang kepada ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dengan memohon pertolongan dari Allah s.w.t. Dan Allah sentiasa bersama-sama memberi petunjuk kepada orang-orang mahukan petunjuk dari Allah s.w.t. Allah berfirman yang bermaksud:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh pada jalan Kami, Kami akan tunjukkan kepadanya jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”
(Surah al-Angkabut: 69)
Dan ketahuilah orang-orang yang melupakan ajaran Allah s.w.t. mereka bukan sahaja menderita di dunia bahkan di hari akhirat mereka lebih mendeita lagi. Apabila mereka dibangkitkan oleh Allah s.w.t. dalam keadaan buta, tidak dapat melihat jalan melainkan menuju ke arah neraka Jahannam. Mereka tidak boleh pergi ke arah syurga mahupun ke arah kebaikan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. Mereka dilupakan oleh Allah s.w.t. kerana di atas dunia itu mereka melupakan ajaran Allah.
Marilah kita mengingatkan diri kita dengan peringatan Allah s.w.t. Marilah kita menyedarikan diri kita dengan petunjuk dari Allah. Marilah kita menginsafkan diri kita dengan bertaubat dan kembali kepada Islam sebagaimana Islam itu dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Kita menolak segala yang lain daripada Islam kerana segala yang lain daripada Islam semuanya akan membawa kesesatan dan kesesatan itu menuju ke arah neraka.
“Sesungguhnya bagi kamu, pada diri Rasulullah itu mempunyai teladan yang baik bagi orang yang mengharapkan Allah s.w.t. dan hari akhirat dan sentiasa mengingati Allah dengan sebaik-baiknya.”
(Surah al-Ahzab: 21)
بارك الله لى ولكم فى القرآن العظيم ونفعنى واياكم بالآيات والذكر الحكيم, وتقبل منّى ومنكم تلاوته انه هوالسميع العليم, اقول قولى هذا و استغفر الله العظيم لى ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات فاستغفروه انه هو الغفور الرحيم.
0 comments:
Catat Ulasan