24 Julai 2010

Bilakah kemenangan bagi umat Islam akan kunjung tiba?

Assalamu’alaikum w.b.t.

            Alhamdulillah, selawat & salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga baginda, para sahabat serta seluruh umat Islam yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

            Apa yang ana ingin kongsikan kali ini, bilakah kemenangan yang Allah s.w.t. janjikan akan kunjung tiba bagi umat Islam? Kebanyakan daripada kita telah lama merasai kepahitan yang tak pernah padam berikutan peristiwa demi peristiwa yang menimpa umat Islam. Apatah lagi kini bagi umat Islam di bumi Palestin khasnya, dan umat Islam seluruh dunia amnya. Kegelapan semakin memekat dan keperitan tidak tertanggung lagi, keadaan umat Islam semakin hari semakin buruk.

            Peristiwa kecelakaan yang menimpa umat Islam yang kita dengar dan kita saksikan bukannya berlaku dalam tempoh masa 100 atau 200 tahun kebelakangan ini bahkan berabad-abad lamanya sebelum daripada ini. Kita mendengar daripada sirah umat-umat yang terdahulu, ada dikalangan mereka (umat Islam) yang digergaji kepala mereka sehingga terbelah dua akibat memeluk dan mempertahankan Islam, diseksa, dianiaya, dan sebagainya.

            Pernah beberapa kali dalam perkongsian ilmu yang ana sampaikan kepada masyarakat, seorang lelaki yang lanjut usianya menanyakan kepada ana: “Kita menyaksikan umat Islam terus menerus diuji dengan pelbagai peristiwa yang menyayat hati dan seringkali ditindans serta diperkotak-katikkan…Bilakah kita (umat Islam) akan menang?” (mafhum daripada soalan yang ditanya)..

            Ya, kadang-kadang hati kecil kita sering tertanya-tanya bilakah lagi Islam akan menang? Bilakah lagi kemenangan yang Allah janjikan kepada hambaNya akan kunjung tiba? Apakah di sana tiada kemanisan bagi umat Islam berada dalam keadaan aman dan memerintah bumi ini? Soalan demi soalan yang bermain dalam sanubari kita selaku (umat Islam)..

Firman Allah dalam al-Quran:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Surah al-Angkabut: 1&2)


وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِن بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ 
  
Dan Demi sesungguhnya, Kami telah tulis di Dalam Kitab-kitab Yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu Yang soleh.
(Surah al-Anbiya’: 105)

            Namun persoalannya, apakah generasi kita sudah layak untuk menerima kemenangan daripada Allah? Dan adakah keadaan kita sudahpun bertepatan dengan ciri-ciri hamba Allah yang telah dijanjikan buat mereka kekuasaan di muka bumi ini?

            Jawapannya ada pada diri kita dan umat Islam sekeliling kita setelah mana kita merenung dan menghitung kembali, bagaimana keadaan kita. Apakah keadaan kita hari ini menunjukkan bahawa kita termasuk dalam syarat-syarat kemenangan yang Allah s.w.t. janjikan itu?

Ayuh kita sama-sama hitung diri kita dan penuhi syarat-syarat kemenangan yang dijanjikan Allah kepada hambaNya...

Wallahua’lam...

0 comments:

Catat Ulasan

.::coretan kehidupan seorang hamba mencari keredhaan ILAHI::. Copyright © 2011 | Template created by O Pregador | Powered by Blogger