27 Ogos 2009

TARBIAH RUHIYYAH

Firman Allah SWT:

“Sebagaimana (Kami Telah menyempurnakan nikmat kami kepadamu) kami Telah mengutus kepadamu Rasul diantara kamu yang membacakan ayat-ayat kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui.” (Al-Baqarah: 151)

Secara ringkas, ayat di atas menjelaskan empat unsur penting dalam dakwah. Antaranya ialah unsur tazkiah iaitu usaha ke arah mensucikan diri daripada kerendahan akhlak dan kekotoran jiwa, menjauhkan diri dari sisa-sisa hidup jahiliah dan usaha untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya Islam. Bertolak dari sini dapatlah difahami bahawa tazkiah juga memberi maksud tarbiah. Jadi tarbiah dan dakwah adalah merupakan dua perkara yang mesti berjalan seiring dan tidak boleh bercerai tanggal.

Sesungguhnya tarbiah adalah merupakan satu lapangan yang asasi dan terpenting bagi sesebuah gerakan Islam yang beramal untuk merubah realiti yang ada. Ia juga adalah seumpama tulang belakang yang menjadi tunggak dalam dakwah. Bahkan dakwah tidak akan sempurna kiranya tidak didahului dengan proses tarbiah. Sebab itu timbul ungkapan yang berbunyi:

أصلح نفسك وادع غيرك
‘Perbetulkanlah diri kamu dan serulah orang lain’

Dalam berbicara tentang tajuk di atas, tumpuan akan diberikan ke arah bagaimanakah bentuk usaha untuk membentuk generasi muslim yang sanggup untuk memenangkan Islam. Di mana peranan mereka adalah seumpama peranan generasi sahabat di zaman Rasulullah SAW dahulu.

DEFINASI TARBIAH

Secara umum tarbiah adalah merupakan segala usaha yang dilakukan ke arah pengabdian diri kepada Allah secara sempurna. Lantaran itu tarbiah adalah segala usaha yang melibatkan pendidikan, pengalaman, penglibatan dalam perjuangan Islam, kesan persekitaran dan faktor-faktor lain yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.

Mengikut Dr Ali Abd Halim Mahmud, tarbiah adalah merupakan suatu method yang terbaik yang mampu berinteraksi bersama fitrah manusia, dikemukakan sama ada dalam bentuk arahan secara langsung (perkataan) atau secara tidak langsung (qudwah). Ia bertujuan untuk mengubah manusia ke arah yang lebih baik berlandaskan manhaj dan wasilah-wasilah tertentu.

MATLAMAT TARBIAH

Tarbiah Islamiah mempunyai matlamat-matlamat asas yang tersendiri. Antara matlamat tersebut ialah:

1. Pengabdian diri kepada Allah mengikut apa yang telah pun disyariatkan melalui Rasulullah.
2. Membina umat yang muttaqin serta mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah SWT.
3. Melahirkan para mukmin yang menghayati perjuangan.
4. Memimpin dan memerintah dunia.
5. Melaksanakan hukum dan syariat Allah.

Ini adalah matlamat asas kepada Tarbiah Islamiah. Di sana banyak lagi matlamat yang lain mengikut pendekatan dan wasilah yang dibawa.

FAKTOR KEJAYAAN TARBIAH

a) Keyakinan yang teguh bahawa tarbiah adalah satu-satunya wasilah yang mampu merubah masyarakat, membentuk petugas-petugas dakwah dan mencapai cita-cita dan harapan.

b) Adanya manhaj tarbiah yang mempunyai matlamat tertentu, perancangan yang terang dan dari sumber yang jelas, bersifat syumul dan mempunyai kaedah pendekatan yang berbagai, ditegakkan di atas falsafah yang jelas dan diceduk terus dari ajaran Islam yang tulin.

c) Suasana jamai’e yang positif yang dibina oleh jemaah di mana setiap anggota cuba sedaya upaya untuk melaksanakan cara hidup Islam yang tulen.

d) Pemimpin yang terdidik dari segi fitrah, thaqafah dan pengalaman (khibrah)

e) Wujud sebilangan Murabbi yang ikhlas, berkemampuan dan amanah dalam melakukan tugas mereka.

f) Kepelbagaian wasilah: fardi atau jamai’e, teori atau amali, aqli atau ‘atifi, positif atau negatif.

Dengan adanya faktor-faktor tadi, pasti akan lahirlah satu ketamadunan manusia yang bersifat rabbani dan mempunyai ketinggian akhlak yang menghimpunkan antara ilmu dan iman, kebendaan dan roh, mengimbangi antara dunia dan akhirat, di samping menjaga nilai tatasusila dan kehormatan manusia.

CIRI-CIRI TARBIAH ISLAMIAH

Antara keistimewaan Tarbiah Islamiah ia mempunyai beberapa ciri khusus yang tidak terdapat pada sistem tarbiah yang lain. Antara ciri-ciri khusus tersebut ialah:

1) Ketuhanan (الربانية )
2) Sempurna dan lengkap ( التكامل والشمول )
3) Positif dan membangun ( الإيجابية والبناء )
4) Kesederhanaan dan keseimbangan ( الإعتدال والتوازن )
5) Persaudaraan dan jemaah ( الأخوة والجماعة )


BENTUK –BENTUK TARBIAH ISLAMIAH

Bagi melengkapi ciri-ciri yang telah disebutkan, maka penumpuanTarbiah Islamiah hendaklah diarahkan kepada semua bidang atau aspek-aspek terpenting dalam kehidupan individu atau masyarakat. Oleh itu Tarbiah Islamiah mestilah mencakupi aspek-aspek berikut:

a) Tarbiah Imaniyyah
b) Tarbiah Ruhiyyah
c) Tarbiah Ijtimaiyyah
d) Tarbiah Aqliyyah
e) Tarbiah Jismiyyah
f) Tarbiah Siasiyyah

Dalam perbahasan tajuk kertas ini, tidaklah menjadi hajat penulis untuk memperincikan satu persatu bentuk-bentuk tarbiah di atas. Cuma penumpuan hanya akan diberikan kepada Tarbiah Ruhiyyah yang menjadi tajuk perbincangan yang sebenar kertas ini.

TARBIAH RUHIYYAH

· Definasi Tarbiah Ruhiyyah

Jika sekiranya Tarbiah Imaniyyah bermaksud usaha ke arah menguatkan lagi keyakinan dalam hati setiap individu dan jemaah terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah, maka Tarbiah Ruhiyyah pula adalah merupakan lanjutan kepada Tarbiah Imaniyyah, iaitu suatu usaha ke arah menguatkan lagi hubungan di antara ‘Wujdan Insani’ dan Pencipta (Khaliq) sehinggalah seseorang itu mencapai satu peringkat makrifah ruhiyah, yang dengannya seseorang itu mensucikan diri dari segala kekotoran dan menjadikan dirinya beramal dengan kelaziman yang mendekatkan diri dengan tuhannya. Hasil dari itu tergambarlah segalanya ada perkataan dan segala kerja buatnya.

Tarbiah Ruhiyyah adalah merupakan bentuk tarbiah yang seolah-olah menjadi rakan karib kepada Tarbiah Imaniyyah, kerana dengan kekuatan rohlah akan menghasilkan keimanan yang mantap kepada Allah SWT. Bahkan jika dilihat dari segi wasilah kedua-dua bentuk tarbiah ini, ianya hampir-hampir sama. Pun begitu, tidak dinafikan bahawa Tarbiah Imaniyyah adalah merupakan bentuk tarbiah yang paling utama berbanding dengan yang lainnya. Kerana sesungguhnya Tarbiah Imaniyyah atau Rabbaniah adalah merupakan syarat pertama untuk melahirkan generasi yang unggul yang dapat memenangkan Islam.

· Tujuan Tarbiah Ruhiyyah

Secara ringkas dapatlah dinyatakan bahawa tujuan daripada Tarbiah Ruhiyyah adalah seperti berikut:

1) Menjadikan anggota sentiasa merasai akan kebersamaan Allah di mana saja ia berada dan menjalani setiap pekerjaan berlandaskan kepada kefahaman ini.

2) Melahirkan anggota yang ikhlas kerana Allah dalam setiap amal, perkataan dan segala pergerakannya. Di mana tujuannya ialah semata-mata mencari keredhaan Allah bukannya mencari kepentingan yang lain.

3) Mentaqarrubkan diri dengan Allah Taala melalui zikrullah dalam setiap ketika, memelihara ibadat, mengingati akhirat, sentiasa memperbaharui taubat dan warak dari segala perkara yang syubhat dan haram.

4) Sentiasa bermuhasabah terhadap diri setiap hari.

5) Akhirnya akan melahirkan anggota yang cintakan syahid fisabilillah dengan menyertakan niat untuk berjihad pada dirinya dan yakin terhadap qada dan qadar Allah.

Berdasarkan tujuan di atas inilah, maka ramai di kalangan ulama Islam menggariskan cara dan kaedah-kaedah yang sesuai untuk mencapainya. InsyaAllah penjelasan terperinci berkenaan perkara tersebut akan dinyatakan dalam 7.5 nanti.

· Tarbiah Ruhiyyah Dan Generasi Unggul

Mungkin ada orang bertanya, apakah kaitannya antara Tarbiah Ruhiyyah dengan Generasi Unggul? Adakah di sana hubungkait antara sesuatu yang berbentuk dalaman dengan sesuatu yang berbentuk luaran atau kebendaan? Kerana apa yang difahami oleh umum bila menyebut keunggulan, ianya adalah suatu misi atau matlamat jangkamasa tertentu untuk mencapai tujuan yang lazimnya berbentuk kebendaan.

Sebenarnya di sana memang ada hubungan intim antara roh dan jasad (kebendaan). Kerana jika dilihat kepada kejadian manusia sendiri ianya terdiri dari dua unsur utama iaitu unsur roh dan unsur jasad.

Jasad semata-mata tanpa roh tidak lagi dinamakan manusia bahkan dinamakan mayat. Bila menyebut mayat, ia adalah merupakan jasad kaku yang sudah tidak mempunyai harga lagi walaupun satu sen. Jadi untuk menjadikan diri manusia itu benar-benar berharga, maka mestilah kedua-dua unsur tadi dijaga dan ditarbiah dengan sesempurna mungkin. Kalau jasad memerlukan kepada bekalan makanan, maka samalah keadaannya dengan roh yang juga membutuhkan bekalan. Jasad akan terarah melakukan kebaikan dan ketaatan kiranya roh diberi makan dengan makanan yang berzat. Kerana faktor dalaman itulah (roh) yang mendorong seseorang melakukan ketaatan dan keburukan. Makanan yang berzat itulah sebenarnya yang dinamakan sebagai Tarbiah Ruhiyah.

Generasi Unggul sebenar yang dimaksudkan di sini ialah generasi yang berwawasan Islam!! Atau dengan ertikata lain generasi yang mampu untuk bekerja ke arah memenangkan Islam dan meletakkannya di tempat yang sebenarnya. Generasi yang bermatlamatkan (berwawasankan) mardhatillah melalui wasilah Daulah Islamiah.

Untuk melahirkan generasi ini tidak boleh tidak mestilah melalui proses tarbiah sebagaimana yang telah dilalui oleh generasi sahabat terdahulu. Mereka juga adalah golongan yang berwawasan. Jika tidak, mengapakah di zaman pemerintahan mereka, dua pertiga dunia dikuasai oleh Islam! Sebenarnya apakah rahsia disebalik kemenangan tersebut? Jawapannya tidak lain itulah kekuatan hubungan mereka dengan Allah yang terhasil melalui proses tarbiah yang mantap. Antara bentuk latih tubi yang dilalui oleh mereka ialah Tarbiah Ruhiyyah.

Berbalik kepada wawasan Islam tadi, maka generasi yang akan lahir dari Madrasah Ruhiyyah ini adalah merupakan generasi yang bekerja sebagaimana juga orang lain bekerja. Tetapi setiap kerja yang dibuat berlandaskan kepada syariat Allah, roh kerja mereka adalah untuk Islam semata-mata. Ia akan bertegas dengan segala bentuk penyelewengan dan maksiat. Bahkan segala apa yang dilakukan baik berbentuk tutur kata, fe’il perangai, berfikir dan sebagainya hanyalah semata-mata untuk Islam.

قل ان صلاتى ونسكى ومحياى ومماتى لله رب العالمين

Oleh itu jelaskan di sini bahawa memang Tarbiah Ruhiyyah adalah amat perlu dalam usaha untuk melahirkan Generasi Unggul dan lebih jauh dari itu ia juga penting untuk melahirkan para du`at yang bekerja untuk Islam.

· Hujah Dari Sirah Rasulullah, Sahabat dan Para Pejuang Terdahulu

a) Sirah Rasulullah SAW

Kita melihat bagaimana setelah Rasulullah dilantik menjadi rasul dengan turunnya surah Al Muddathir yang menyuruh agar Rasulullah bingkas bangkit untuk berdakwah kepada manusia. Maka bermulalah satu sesi dakwah yang penuh dengan berbagai cabaran. Bermacam bentuk gelaran diberikan kepada baginda sehingga menyebabkan Rasulullah sebagai manusia biasa merasa gementar. Sejurus daripada itu baginda pulang dan mengarahkan isterinya Khadijah agar menyelimutinya….

Kemudian turun pula surah yang ke seterusnya iaitu Surah Al Muzzammil yang mengarahkan agar baginda bangkit untuk mentaqarrubkan diri kepada Allah dengan melaksanakan sembahyang malam, membaca Al Quran, berzikir dan bermunajat kepadaNya. Sebenarnya rahsia dari pengarahan tersebut terdapat pada ayat yang ke empat dari surah tersebut iaitulah sebagai zaad (bekalan) untuk memikul risalah Islam yang maha berat.

Ini membuktikan bahawa betapa Tarbiah Ruhiyyah itu penting dalam pembentukan generasi du`at. Ust Fathi Yakan ada menyebut tentang persiapan yang perlu ada pada dai’e ataupun pemuda yang ingin memenangkan Islam. Antara bentuk persiapan itu ialah:

Persiapan pemikiran (Thaqafah)
Persiapan dalaman (Nafsi / Roh)
Persiapan gerakan (Haraki)


Begitu juga dengan Ustaz Abdul Karim Zaidan, pun ada menyebut tentang (عدة الداعى) iaitu persiapan para dai’e, yang antara lainnya ia menyebut:

“Para dai’e sememang memerlukan kepada persiapan yang mantap dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanahnya. Yang mana tugas tersebut pada asalnya adalah merupakan tugas para Rasul. Persiapan tersebut termasuklah:

· Kefahaman yang mendalam
· Iman yang jitu
· Hubungan yang kukuh dengan Allah SWT

Inilah bentuk persiapan yang mesti ada pada seorang dai’e. Bilamana salah satu daripadanya tiada, maka cacatlah dakwah dan menjadi tanggungjawab kepadanya untuk mengembalikan kekuatan tersebut.

b) Kisah Peperangan Badar

Peperangan ini adalah merupakan contoh terbaik pada kita yang menggambarkan bahawa kekuatan kebendaan dan persenjataan bukanlah faktor utama dalam memastikan kemenangan. Tetapi kekuatan aqidah dan hubungan kukuh dengan Allahlah yang menjadi penentu kepada kemenangan. Kita menyaksikan bahawa peperangan tersebut berlaku dalam bulan Ramadhan di mana umat Islam sedang berpuasa. Subhanallah….

c) Kisah Perang Salib

Peperangan ini juga menunjukkan kepada kita bahawa pentingnya Tarbiah Ruhiyah. Bagaimana kita menyaksikan bentuk penyusunan yang telah dibuat oleh Salahuddin Al Ayyubi dalam membahagikan tugas-tugas tenteranya. Ia hanya akan meletakkan mereka yang bangkit malam sahaja untuk mengambil tempat di bahagian hadapan dalam saf peperangan. Ternyata terbukti keberkesanannya.

Selain dari itu banyak lagi kisah sama ada pada zaman dulu mahupun zaman mutaakhir ini yang menggambarkan keunggulan Tarbiah Ruhiyah dalam kehidupan para dai’e.

· Bagaimanakah Islam Mendidik Roh?

Persoalan roh di dalam Islam mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT, walaupun manusia mempunyai kejadian yang hampir serupa dengan makhluk lain dari segi pembentukan anggota badan dan kehidupan, namun manusia mempunyai keistimewaan yang tidak terdapat pada makhluk lain. Di mana Allah SWT telah meniupkan rohNya ke dalam kejadian manusia yang menjadikan manusia sebagai suatu makhluk yang unggul dan mempunyai kemuliaan di sisiNya berbanding dengan makhluk lain.


“Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”

Oleh itu Islam memberi penumpuan yang serius di dalam mendidik rohani, kerana melalui pendidikan inilah akan bertunjangnya keimanan yang mendalam dan aqidah di dalam diri seseorang muslim.

Method ataupun manhaj yang dibawa oleh Islam di dalam mendidik roh secara kasar boleh kita garapkan dengan lima cara:

a) Iltizam dengan Mujahadah

Seseorang itu hendaklah mengetahui bahawa dirinya tidak hanya terhenti kepada unsur jasad semata-mata, bahkan di sana terdapat roh dan akal. Ia hendaklah berusaha untuk mensucikan dirinya dan mengambil berat terhadap usaha untuk meninggikannya. Ini adalah kerana di dalam dirinya terdapat dua kekuatan yang sering bertembung antara satu sama lain, iaitulah kebaikan dan kehendak hawa nafsu yang boleh kepada menta’abudkan diri kepadanya (nafsu). Adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan bahawa segala kehendak hawa nafsu tunduk kepada kebaikan. Jalan untuk menunaikan tanggungjawab tersebut tidak lain mestilah melalui mujahadah.

Us. Said Hawa dalam menjelaskan persoalan mujahadah memulakannya dengan noktah Iman dengan Allah dan keesaannya dan bahawa Muhammad itu adalah Rasulullah. Kemudian disusuli dengan marhalah kedua, iaitu mendiri kefardhuan waktu dengan mengerjakan solat, puasa, zakat, haji, nikah, muamalah jual beli, mengikat silaturrahim, berbuat baik kepada ibubapa dan yang lain yang berbentuk kewajipan waktu. Setelah itu hendaklah juga dipelihara adab-adab waktu tersebut.

Kemudian juzuk ketiga dalam mujahadah ialah seseorang itu menyusun dirinya untuk mengerjakan ibadat-ibadat sunat samada solat, puasa nawafil, zikir, baca Al Quran dan lain-lain. Setetelah itu barulah masuk kepada persoalan ke empat, iaitulah Rukun Mujahadah. Di sana terdapat empat rukun mujahadah, iaitu:

Uzlah ( العزلة )
Diam ( الصمت )
Berjaga malam ( السهر )
Berlapar ( الجوع )

Akhirnya sampailah kepada persoalan terakhir, iaitu meneliti jiwa dan hati seterusnya memeriksa penyakit-penyakitnya dan cara-cara mengubatinya.

b) Iltizam dengan wirid-wirid Al Quran dengan tujuan untuk mentaqarrubkan diri kepada Allah, bertafakkur tentang rahsia kebesaran Allah. Perkara ini sebenarnya adalah merupakan bentuk-bentuk taklif yang dibuat melalui kelompok-kelompok usrah atau katibah yang menjadi tugas anggota untuk melaksanakannya. Ia juga merupakan antara syarat kemasukan seseorang di dalam jemaah. Adapun wirid tersebut termasuklah:

· Wirid bacaan harian Al Quran (satu juzuk)
· Wirid hafalan Al Quran (satu ayat sehari sekurang-kurangnya)
· Wirid bacaan surah tertentu pada hari tertentu
· Wirid Istima’ (mendengar bacaan Al Quran ) dalam majlis usrah ataupun katibah
· Wirid Al Quran yang ditentukan, di mana dalam satu minggu ditentukan himpunan ayat pada tajuk yang sama untuk dipelajari oleh anggota dan seterusnya untuk dihafal.

c) Iltizam dengan zikir yang ma’thur dengan tujuan untuk mengikat perasaan dan jiwa agar sentiasa dengan Allah sehingga membawa kepada ketinggian jiwa. Zikir ini merangkumi:

· Wirid pada waktu pagi dan petang (Al Ma’thurat)
· Membaca zikir dan doa pada waktu-waktu yang berbeza. Contohnya doa ketika bangkit tidur, ketika masuk tidur, ketika makan, minum, bermusafir, lepas solat, ketika naik kenderaan dan sebagainya.

d) Iltizam dengan ibadat fardhu dan nawafil khususnya puasa dan qiamulail. Adalah lebih baik kiranya solat fardhu secara berjemaah di masjid dan melaksanakan puasa Ramadhan dengan sebaik mungkin.

Adalah menjadi tuntutan kepada setiap amilin untuk:

· Berpuasa sekurang-kurangnya tiga hari setiap bulan dan sehari seminggu
· Menghidupkan malam sekali seminggu secara berjemaah dalam program tertentu

e) Iltizam dengan kegiatan-kegiatan untuk menghidup roh dalam ruang lingkup kehidupan manusia. Antaranya ialah dengan:

· Mengkaji sirah Rasulullah SAW dan sahabatnya dari sudut ketinggian roh mereka
· Mempelajari alam ghaib dan mukjizat para nabi daripada Al Quran dan Hadith
· Mentelaah buku-buku sufi (tasauf)
· Menjauhkan diri dari berkawan dengan kawan yang jahat dan menghadiri majlis mungkar
di samping menundukkan pandangan dan mendekati ahli makrifah billah.
· Iltizam dengan jadual muhasabah. Iaitu bentuk-bentuk soalan yang dikemukakan pada diri sendiri secara berseorangan ketika sebelum masuk tidur. Setiap persolan tersebut hendaklah dijawab ya atau tidak untuk mengetahui sejauh manakah ia telah membuat taat kepada Allah dan banyak manakah kecuaian pada hari tersebut.
· Sentiasa mengingati hari akhirat. Dapat dilakukan dengan mengadakan program menziarahi kubur sekali seminggu untuk mengambil pengajaran dan memuhasabah diri.

PENUTUP DAN KESIMPULAN

Sesungguhnya Tarbiah Ruhiyyah yang berkesan akan membuahkan hasil yang baik pada diri seseorang antaranya:

a) Keyakinan pada Allah akan memenuhi seluruh ruang jiwa, sentiasa bermuraqabah dan rindu untuk beribadat kepadaNya
b) Hubungan baik dengan Allah yang diasaskan di atas rasa kecintaan terhadapnya
c) Cintakan kebaikan
d) Lahirnya sifat ihsan dalam diri
e) Bersifat adil dan seimbang dalam memenuhi tuntutan roh dan jasmani

Tegasnya Tarbiah Ruhiyyah adalah merupakan satu wasilah terpenting dalam usaha untuk melahirkan generasi rabbani yang hidup dan matinya adalah semata-mata untuk Allah SWT.

Dipetik daripada:
Zulbirri 2007,Sungkai, Perak
Insan yang berjiwa murobbi...
Jasamu tetapku kenang...

0 comments:

Catat Ulasan

.::coretan kehidupan seorang hamba mencari keredhaan ILAHI::. Copyright © 2011 | Template created by O Pregador | Powered by Blogger