30 Mei 2010

Ulama' Umno bakar kapal...

Saya bukan orang politik. Bukan aktivis mana-mana parti. Saya seorang rakyat yang memerhati perkembangan pemikiran Islam dalam negara ini.

Artikel ini akan menyebut istilah ulama Umno atau ulama pro-Umno. Walaupun istilah ini umum, namun saya mengecualikan mereka yang ikhlas dan tidak bersikap seperti yang disebutkan nanti.

Saya tidak faham mengapakah Umno kebelakangan ini suka berkeras mengambil pandangan-pandangan agama yang bersifat perkauman dan amat konservatif.

Dulu mereka lebelkan PAS demikian. Namun hari ini apabila PAS mula membuka ufuknya, melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas, Umno pula yang cuba kembali ke zaman ortodoks tersebut.

Ya, memang masih ada dalam PAS sendiri kelompok yang 'ala ulama Umno' hari ini, yang juga mengurung diri dengan pandangan-pandangan yang agak konservatif dan menolak keluasan ijtihad.

Namun suara pembaharuan dan keterbukaan jelas kedengaran dalam PAS. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak lagi bersendirian dengan pandangan-pandangan pembaharuannya.

Pelik, sebagai pemerintah mengapa Umno menerima pandangan-pandangan yang sempit itu. Padahal pandangan-pandangan itu hanyalah tafsiran 'kurang luas' golongan konservatif agama, atau satu ijtihad yang boleh untuk dilihat atau dibandingkan dengan ijtihad yang lain.

Apakah kerana Umno merasakan bahawa mereka hanya mampu bernafas dalam iklim yang kurang 'oksigen keluasan ijtihad' atau hanya gas perkauman dan fahaman 'sempit' agama sahaja yang mampu menghidupkan Umno.

Keserasian wajah 1Malaysia

Atau, apakah ulama-ulama pro-Umno hanya mampu bernafas selagi parti itu dikurangkan oksigen keluasan berfikir? Atau, apakah Umno melihat rupa paras Islam dalamnya hanya mampu dilihat jika ia bersifat keras dan sokongan Melayu pun akan datang kepadanya dengan membakar isu-isu tersebut?

Di

manakah keserasian wajah 1 Malaysia Perdana Menteri dengan pendekatan Islam Umno hari ini?

Sebagai pemerintah bagi sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama, oksigen keluasan ijtihad diperlukan oleh Umno. Mengapakah Umno menerima pendapat-pendapat yang menajamkan salah faham terhadap Islam di negara ini.

Dulu Umno menolak pihak yang membangkitkan tuduhan 300 ribu orang Melayu murtad serta menuduh individu dan institusi itu dan ini sebagai pusat Kristian.

Hari ini pendapat pihak seperti tersebut diterima pakai. Bahkan beliau dijadikan perlambangan ulama pro-Umno. Atau memang Umno kini berminat dengan perdekatan yang sifatkan media antarabangsa sebagai 'ala-ala Taliban'?

Segala tudingan Umno dahulu kepada PAS sebagai pembawa Islam sempit dan jumud, hari ini PAS hampir dapat membebaskan diri dan imejnya seumpama itu sedangkan sebaliknya Umno pula yang memakai seragam kejumudan dan kesempitan tersebut.

Peguam bukan Islam

Lihat, isu peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah. Media-media Umno membesar-besarkan isu ini seakan ia akan memusnah orang Islam.

Diambil pendapat pihak yang menyatakan bahawa itu akan mengelirukan umat Islam dan mengancam Islam. Saya ditanya oleh Utusan Malaysia, namun apabila saya beri pendapat yang berbeza, ia tidak disiarkan.

Isu itu boleh memberikan gambaran salah kepada bukan Islam, dan juga generasi baru Muslim mengenai Islam.

Bagaimanakah mungkin, universiti rasmi kerajaan UIAM memberikan sijil yang sah dalam bidang tersebut kepada peguam berkenaan, tetapi kerajaan yang sama menyatakan ia tidak boleh digunapakai?

Apakah ini secocok dengan keadilan Islam?

Kedua, bayangkan dalam sebuah negara Islam sepenuhnya yang hanya bertunjangkan Mahkamah Ssyariah, tiba-tiba kita beritahu bukan Islam tidak boleh menjadi peguam!

Apakah dalam negara yang berbilang agama ini, mereka akan pandang tinggi tentang konsep keadilan di mahkamah yang bersifat Islam seperti itu?

Peguam ialah pembela. Sesiapa sahaja boleh membela tertuduh di mahkamah Islam. Yahudi pernah menang kes menentang Saidina 'Ali dalam pertikaian baju besi.

Pada zaman Nabi SAW dan al-Khulafa al-Rasyidin, tiada sistem guaman secara rasmi. Seseorang boleh menuntut keadilan dengan hujah-hujahnya di hadapan hakim. Untuk membela atau berhujah, sesiapa pun boleh berhujah.

Penentunya, sistem kehakiman itu sendiri, bukan peguam. Di zaman kini lebih jelas. Undang-undang telah dienakmenkan. Ia bertulis dan setiap pihak terikat dengan undang-undang bertulis itu.

Sesiapa sahaja yang berhujah, sama ada Islam atau bukan Islam, mereka terikat dengan hal tersebut. Hakim akan menentukannya secara adil. Keadilan sebenar dapat diperolehi jika hakim adil.

Setiap pihak berhak membela diri, dan berhak meminta sesiapa sahaja yang mampu membelanya. Keadilan itu buta warna kulit dan jenis agama.

Islam yang seperti itulah patut digambarkan jika kita ingin menuju kepada Islamisasi negara yang sebenar. Jika ada beberapa peruntukan undang-undang yang kurang sesuai dalam masyarakat yang rencam ini maka ia perlu diubah.

Cara Umno mengendalikan isu tersebut, mengelirukan bukan Islam!

Jika tidak mahu benarkan, mengapa dia diizinkan melalui pengajian dan menghabiskan masa untuk itu, kemudian dimaklumkan 'sijil awak tidak laku'.

Ulama pro-Umno bising. Menariknya, apabila ada orang yang ditahan tanpa diberikan hak perbicaraan, mereka diam! Tidakkah ini mengelirukan Islam dan bukan Islam?

Jika ini tidak diubah, Islam di negara ini terus menjadi defensive, takut pada bayang-bayang sendiri dan gagal memahamkan bukan Islam tentang keindahan Islam.

Lebih 50 tahun Umno memerintah, generasi baru bukan Islam bertambah prejudis dengan Islam yang dibawa oleh Umno. Golongan muda Islam juga demikian.

Agama dijadikan senjata permusuhan, bukan lagi rahmat yang menimbulkan kedamaian dan keyakinan rakyat kepada keindahan Islam.

Jika tanpa pendakwah-pendakwah dan tokoh-tokoh yang ikhlas menjelaskan tentang hakikat Islam sebenar, tentu bukan Islam bertambah prejudis kepada Islam.

Generasi Islam yang terpelajar juga akan mula mempersoalkan Islam seperti ini.

Isu kalimah Allah

Isu kalimah Allah juga demikian. Ulama pro-Umno, termasuk 'ala Umno' yang berada dalam PAS membakar rakyat awam dengan isu ini.

Sehingga ada ulama pro-Umno yang cuba mengkafirkan orang lain dalam isu nama Allah tersebut. Tidak cukup dengan 300 ribu yang dimurtadkan dulu, ditambah pula ahli politik yang cuba dijadikan murtad baru.

Semuanya kerana tafsiran yang sempit. Padahal, isu itu boleh diselesaikan dengan adil dan saksama. Diraikan hak agama lain dan dibuat beberapa peraturan untuk ketenteraman awam. Saya sendiri telah menggaris panduan dalam media. Bukan Islam ramai yang setuju.

Namun, ada yang cuba bermain sentimen rakyat yang kurang faham.

Media Umno pula hanya menerang pendapat sebelah pihak. Namun sekarang apabila melihat kekalahan di Sibu yang membabitkan penduduk Kristian, Umno mula gelisah. Apakah Umno akan meminta fatwa baru dari 'mufti' yang setia berkhidmat itu?

Isu masuk masjid

Isu bukan Islam tidak boleh masuk ke dalam masjid juga dipopularkan oleh media Umno. Padahal larangan bukan Islam masuk masjid hanya salah satu pendapat dalam kalangan ulama.

Ulama hadis ramai berpendapat sebaliknya. Ini disebabkan hadis-hadis menunjukkan bukan Islam pada zaman Nabi SAW masuk ke dalam masjid dan mempelajari Islam.

Jsuteru, di zaman kini yang banyak salahfaham terhadap Islam, mereka lebih patut dibenarkan masuk.

Cumanya, letakkan beberapa peraturan atas asas siyasah syar'iyyah (islamic administration). Namun, jika apabila dikemukakan pendapat bahawa bukan Islam boleh masuk ke masjid, bangkitlah ulama-ulama pro-Umno dengan fatwa-fatwa ketat dan seakan hendak berjihad mempertahankannya.

Malang sekali, apabila timbul isu judi bolasepak, tidak pula mereka berani lantang dan tegas. Tidakkah ini mengelirukan? Apa tidaknya, apabila bukan Islam hendak masuk masjid dihalang, tapi apabila diberikan keizinan berjudi didiamkan!

Isu Sebat

Isu sebat tiba-tiba muncul. Dulu Umno sensitif dengan hudud. Dalam persekitaran yang ada, saya juga fikir PAS tidak perlu menegaskan isu hudud. PAS sejak dulu patut angkat isu keadilan seperti mereka lakukan sekarang.

Keadilan itulah objektif. Hudud adalah mekanisma yang boleh diselaraskan apabila keadaan wajar.

Hukum yang baik untuk tempat yang sesuai. Sama seperti wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Jika wanita yang baik dikahwinkan dengan lelaki yang jahat, kepincangan akan berlaku.

Demikianlah hudud. Saya telah beri pandangan dalam masalah ini.

Tapi kini, tidak semena-mena tanpa mukadimah yang jelas agar rakyat faham, Umno mencanangkan isu sebat Kartika dan tiga wanita di Wilayah Persekutuan.

Menurut laporan media, mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria kata sesiapa hina hukum sebat murtad kerana ia hukum Allah. Namun, apabila Sultan Pahang batalkan hukuman, beliau berkata itu hak Sultan.

Saya telah beri pandangan dalam kes ini, boleh rujuk laman web saya. Keajaiban ulama dalam media Umno!

Perarakan Maulid

Apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat kata perarakan maulid bukan galakan agama, media Umno dan ulama pro-Umno membuat ulasan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diserang. Walaupun saya ketika itu menulis dalam Mingguan Malaysia, saya memberikan pandangan yang berbeza.

Artikel saya 'Melayu dan Mamak Penang' boleh dirujuk. Media Umno jadikan seakan isu itu benteng Melayu-Islam di Malaysia.

Di Kelantan, lebai entah dari mana datangnya, pun menulis di Mingguan Malaysia kononnya Nik Aziz - Wahabi disebabkan isu-isu seperti ini.

Bisinglah mereka. Malangnya, media dan ulama pro-Umno tidak pula bising keruntuhan moral muda-muda Melayu-Islam saban tahun disebabkan perhimpunan pesta sambutan tahun baru yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin politik!

Inilah ulama yang pro-Umno sekarang. Apakah mereka ini dapat menarik perhatian generasi baharu Islam dan bukan Islam kepada Islam?

Barah

Banyak lagi isu lain jika hendak disebutkan yang membabitkan ulama dalam Umno.

Saya bukan anti-Umno tetapi inilah realitinya. Saya ramai sahabat dalam Umno. Kepimpinan Umno bermula dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga ke lapisan bawah, ramai yang baik dengan saya. Tapi ini realiti. Kritikan saya untuk semua. Kali ini khas untuk Umno.

1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib akan tenggelam dibakar oleh pemikiran sempit dan berkepentingan oleh sesetengah ulama Umno ini.

Malang sekali, di kala rakyat Malaysia mula bersikap terbuka, memahami Islam dari kerangkanya yang luas, menelaah ijtihad yang berbagai dan bersedia untuk berhujah secara matang, Umno memilih fatwa atau pandangan yang kian sempit dan berkepentingan.

Dunia sudah terbuka disebabkan media baru, Umno cuba kembali ke zaman selepas kemerdekaan.

PAS yang dahulunya dilihat kolot, mula dipenuhi dengan tokoh-tokoh politik Islam yang kian matang dan mampu mengadaptasi Islam dalam lakarannya yang luas. Pada masa yang sama Umno sedang kerumuni oleh sesetengah mereka yang 'narrow-minded' dan melihat Islam dalam kerangka perkauman.

Bolehkah 1 Malaysia tajaan Perdana Menteri berjaya jika ini terus berlaku. Generasi muda Islam dan bukan Islam telah jauh ke hadapan meninggalkan kesempitan ini. Islam dalam kerangkanya yang lebih universal akan mengambil tempat.

Ulama Umno sebenarnya sedang membakar kapal sendiri dan menenggelamkannya. Perdana Menteri, patut menilai semula agenda 1 Malaysia!



_____________________________________________________________________
Penulis adalah pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia sebelum dilantik menjadi mufti Perlis bermula 1 Nov 2006 – 30 Nov 2008. Beliau mendapat ijazah Ph.D dalam Islamic Revealed Knowledge And Haritage (Al-Quran And Sunnah Studies), UIA (2003) dan lulusan Ijazah Hadith dengan mendapat 5 ijazah sanad menerusi jalur ulama India (2001).

Beliau telah menghasilkan tidak kurang 20 buku, khususnya berkaitana dengan keagamaan dan membentangkan lebih 40 kertas kerja di peringkat tempatan mahupun luar negara.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/columns/133035

27 Mei 2010

Ayuh BERDEMONSTRASI demi ISLAM...!


"Sesungguhnya jihad yang paling baik ialah memperkatakan suatu kalimah yang adil di hadapan seorang sultan (penguasa) yang zalim."

(Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abi Sa'id al-Khudri secara marfu')


Ibn Qayyim r.h berkata:

"Jihad yang paling utama adalah menyatakan dan memperjuangkan kebenaran di hadapan penguasa-penguasa yang zalim, maka para Rasul-rasul Allah Ta'ala telah banyak melakukannya dan Nabi kita Muhammad s.a.w. adalah satu di antara para rasul yang paling sempurna jihadnya dalam bidang ini."

Sekarang ayuh duhai muslimin yang cintakan ISLAM, kita buktikan kecintaan kita benar...bukannya omongan kosong...!

Makluman berkaitan adalah sebagaimana berikut::

Tarikh : 28 Mei 2010 (jumaat)
Tempat
: Perkarangan Masjid Repek Bachok, Kelantan
.
(Dalam kawasan Awang Adek sendiri)

Objektif
:
mendesak supaya Yb. Datuk Dr Awang Adek meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Himpunan Aman di Kelantan adalah diangkat menjadi Himpunan Besar Peringkat Zon Pantai Timur dan insyaallah akan dipimpin oleh :

Yb. Ustaz Nasharudin Mat Isa [ Ahli Parlimen Bachok \ Timbalan Presiden PAS ]

Ustaz Azman Syafawi Abd Rani [ Timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ]

Yb. Ustaz Abd Latif Abd Rahman [ Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan ]

Kemuncak bantahan keras kita terhadap Judi ini ialah pada 3 Julai 2010

Sumber: http://episodeperjuangan.blogspot.com/

26 Mei 2010

Ramainya Ulama’ "Mabuk" Dek Bergeluman Dalam Asmara Cinta…

Alangkah hinanya rasa empunya diri yang menggelarkan diri sebagai pejuang dan pendokong Islam dek bekalan terlalu sedikit. Jiwa yang kosong dari ilmu pengetahuan.


Apakah pantas digelarkan diri sebagai penolong agama Allah?

Dengan apa kamu mahu tolong agama Allah?

Dengan kekuatanmu yang tidak seberapa?


Teringat kembali ketika mana Ustaz Ridhuan Mohd Nor berkongsi pengalamannya sepanjang berada di bumi Palestin.


Sebuah cerita yang membuatkan hatiku tertusuk bila mengenangkan kembali.

Dalam keadaan yang entah bila ajal bakal menjemput, remaja-remaja Palestin sibuk dengan pencarian ilmu seolah-olah tiada apa yang berlaku. Mereka meneruskan pengajian di tiang-tiang masjid kerana sekolah-sekolah tidak lagi berfungsi dek keganasan Yahudi LAKNATULLAH. Bila ditanya kepada mereka, kenapa dalam keadaan sebegini pun mereka masih belajar bersungguh-sungguh? Jawab mereka: Kerana kami berdepan dengan musuh yang cerdik (Yahudi LAKNATULLAH). Subhanallah…Ya! Memang bangsa Yahudi adalah suatu bangsa yang cerdik di dunia.


Seringkali kita mendengar akan perkataan:


لا تنام فانّ العدو لا ينام

Jangan kamu tidur, sesungguhnya musuh tidak tidur


Sungguh indah jika dihayati, namun ia sekadar perkataan retorik jika tidak dilaksanakan. Moga Allah sentiasa memelihara kita agar tidak termasuk dalam orang “retorik” akan perkataan mereka. Luahan ini bukanlah untuk melemahkan semangat atau memperlekehkan mana-mana pihak, namun ianya adalah untuk memperingatkan diri yang dhoif ini dan kita semua agar kita terus bangkit dalam satu barisan.

Ramai dikalangan para ulama’ yang mabuk dek asmara cinta.

Namun asrama cinta yang ku maksudkan di sini bukanlah cinta anta-anti ataupun cinta yang mengundang kemurkaan Allah. Tapi yang ana maksudkan adalah cintanya ulama’ pada ilmu pengetahuan. Ayuh kita hayati beberapa kisah luar biasa tentang cinta seorang ulama’ terhadap ilmu pengetahuan (buku)…



Rela menjual rumah hanya kerana untuk membeli buku…


Kisah ini diambil daripada Imam Thalhah al-‘Alatsi.

Imam Thalhah berkata: “Di negeri Baghdad, ramai orang yang menjual buku-buku karya Ibn al-Jawaliqi. Pada suatu hari, datang al-Hafizh Abu al-‘Al al-Hamadzani ke negeri itu dan singgah di tempat keramaian tersebut. Sebuah buku, berharga enam puluh dinar. Abu al-‘Ala terus membeli buku-buku tersebut. Setelah mendapatkan buku-buku itu, dia berniat pulang ke kampung halaman dan akan lagi pada minggu berikutnya. Sesampai di kampung halaman, dia terus melelong rumahnya untuk dijual. “Belilah rumahku ini!!!” demikian dia berseru. Akhirnya, rumah itu terjual seharga enam puluh dinar. Setelah menerima wang hasil daripada menjual rumah itu, Abu al-‘Ala pun kemudian pergi lagi ke Baghdad dan membeli buku-buku yang belum sempat dia ambil tempoh hari.”

(Ibn Rajab, Dzail al-Tabaqat)

Begitu juga dengan kehidupan seorang ulama’ nahu.

Abdullah bin Ahmad atau yang lebih masyhur dengan panggilan Ibn al-Khassyab.

Dia pada suatu hari ingin membeli buku yang harganya lima ratus dinar, padahal waktu itu dia tidak mempunyai apa-apa. Kemudian, dia minta kepada penjual buku itu agar menunggunya selama tiga hari. Keesokan harinya, Ibn al-Khassyab pun menjual rumahnya. Dia menawarkan rumah itu seharga lima ratus dinar. Setelah rumah itu laku dan memiliki wang sebanyak lima ratus dinar, maka pergilah dia kepada penjual buku tempoh hari dan akhirnya, barulah dia mendapatkan buku-buku itu.

(Ibn Rajab, Dzail al-Tabaqat)


Nah, bagaimana mabuknya seorang ulama’ dalam asmara cinta mereka terhadap buku sehinggakan sanggup menjual rumahnya sendiri demi memperolehi buku-buku.


Al-Hafiz Abdul Gani al-Maqdisi (pengarang kitab al-Kamal). Abu Syamah berkata: “Al-Hafiz Abdul Gani telah ditimpa suatu penyakit, iaitu mata kabur. Penyakit itu datang akibat dia sering membaca dan menangis. Makanya tak hairanlah pada zamannya, hanya dia satu-satunya ulama’ yang paling pandai dalam ilmu hadis.”

(Abu Syamah, Dzail al-Raudhatain)

Imam al-Jahidz bercerita: “Aku mendengar al-Hasan al-Lu’lu’i bercerita bahawa selama empat puluh tahun, dia tidak pernah tidur melainkan di atasnya dadanya ada kitab yang tersandar.”

(al-Hayawan)

Tidak sempat solat sunat kerana sibuk mutala’ah

Imam Taqiy al-Din, Ibn Daqiq al-Id.

Ketika Imam Taqiy al-Din mendapat kiriman kitab yang bernama al-Syarh al-Kabir karya Imam al-Rafi’i yang sampai dirumahnya, dia pun akhirnya sibuk membaca kitab tersebut. Kerana sibuk, dia hanya sempat solat fardhu sahaja.

(Syeikh al-Udfuwi, al-Thali’)

Rujukan utama adalah buku karangan Dr. ’Aidh bin Abdullah al-Qarni: Aku, buku dan cinta



Cerita ini hanya segelintir, sedangkan banyak lagi riwayat hidup para ulama’ tidak didedahkan sebagaimana Imam Bukhari pernah suatu ketika memakan rumput akibat kehabisan wang kerana dibelanjakan pada jalan mendalami ilmu. Begitu juga Imam Yahya bin Ma’in, wang satu juta dirham habis digunakan dalam mendalami ilmu hadis sehingga diceritakan bahawa beliau tidak mempunyai sepasang selipur pun untuk berjalan.

Begitu mendalamnya cinta para ulama’ terhadap ilmu. Walaupun mereka telah berabad meninggalkan dunia, namun mereka petah berbicara sampai sekarang di dalam kitab-kitab peninggalan mereka buat ummah ini.

Sekarang, nah kita ukur! Dimana agaknya diri kita jika nak dibangdingkan dengan mereka. Hasilnya, ibarat bumi dengan langit. Mereka tersenyum bagaikan bintang-bintang dilangit. Namun kita terdampar bak pasir di tepi lautan.


Semoga perkongsian yang tak seberapa ini dapat dimanfaatkan oleh pembaca yang cintakan ilmu. Ayuh kita membaca, membaca dan terus membaca…

Jadilah ummat yang bercinta dengan buku…

09 Mei 2010

POLIS...Kerja kamu bukan tembak remaja tapi penjenayah...!

Apa sudah nak jadi dengan NEGARA KU TERCINTA...
Kes adik aminulrasyid belum lagi selesai dibicarakan, timbul pulak kes Mohd Azizi Aziz...

TEMBAK!
TEMBAK!

TEMBAK!


Apakah negara ini dah darurat?

Kenapa remaja yang tidak bersalah, menerima layanan seperti PENJENAYAH?

Inikah yang dikatakan berkhidmat mengikut dasar yang ditetapkan oleh PDRM?

Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967 menggariskan

Demi kedaulatan negara dan kesejahteraan masyarakat dan kewibawaan pasukan, kewajipan asasi anggota Polis Diraja Malaysia adalah:

  • Memelihara Undang-Undang dan Ketenteraman
  • Mengekalkan Keamanan dan Keselamatan Malaysia
  • Mencegah dan Mengesan Penjenayah
  • Menangkap dan Mendakwa Pesalah-Pesalah; dan
  • Mengumpul Risikan Keselamatan.
Sila rujuk: http://www.rmp.gov.my/base.cfm?path=about/about.cfm?mod=1

Kini rakyat sudah hilang kredibiliti terhadap PDRM yang semakin hari ada sahaja anggota yang bertindak mengikut nafsu dengan menyalahi dasar-dasar PDRM.

Yang penting, PDRM mesti bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku!!!

Takziah buat adik Aminulrasyid dan adik Mohd Azizi Aziz.



(Gambar adik Aminulrasyid)


(Gambar: Sebahagian keluarga mangsa di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.)

Sumber:
http://www.malaysiakini.com/news/131300
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26466:keluarga-sedih-mangsa-ditembak-polis-tiada-rekod-jenayah&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124

02 Mei 2010

Bila manusia ber'IDOLA'kan IBLIS LAKNATULLAH...


Usah diceritakan perasaan bila ana melihat gambar ini dalam blog sahabat ana.

MARAH...!
BENCI...!
MELUAT...!
GERAM...!

Namun apa yang ana boleh coretkan adalah:

1) Alangkah indahnya semangat untuk membunuh ulama' ummah ini ditukarkan kepada membunuh musuh-musuh ISLAM.

2) Setiap manusia bila mana berjuang untuk menegakkan agama Allah sepastinya ada mehnah dan tribulasi yang setia menanti. Inilah janji Allah dlm al-QuranNya.

3) Setiap manusia akan merasai kematian sebagaimana yang diceritakan oleh al-Quran. Samada mati kerana nak menegakkan agama Allah ataupun mati kerana nak memenuhi tuntutan hawa nafsu dan Thagut.

"Hidup mulia atau mati sebagai syuhada'"

.::coretan kehidupan seorang hamba mencari keredhaan ILAHI::. Copyright © 2011 | Template created by O Pregador | Powered by Blogger