Rakyat pada hari ini mempunyai selera politik yang berbeza berbanding dahulu. Mereka lebih cenderung menilai agenda yang ditawarkan oleh parti-parti politik dan seterunya memilih parti yang mampu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mereka.
Mereka bukan lagi taasub kepada satu parti politik, hasilnya, setiap parti politik berusaha keras merencanakan agenda yang dibawa bagi memastikan persepsi positif pengundi sentiasa konsisten terhadap mereka.
Political will (keazaman politik) bagi sesebuah parti politik menjadi satu perkara yang penting bagi rakyat menilai kesungguhan parti politik membawa agenda yang telah direncanakan iaitu bukan sekadar omongan kosong, ia perlu direalisasikan.
Salah satu usaha yang mesti diambil perhatian bagi memenuhi tuntutan budaya politik baru ini ialah dengan menyuburkan dialog dan debat intelektual secara terbuka tanpa ada manipulasi dari pihak tertentu dari sudut maklumat. Ini sangat penting bagi memastikan rakyat mendapat sumber maklumat yang segar dan telus.
Bukanlah Budaya Baru
Dialog dan debat intelektual bukanlah sesuatu yang baru di dunia. Mungkin di Malaysia ia agak kurang popular, kerana adanya sikap ketidak terbukaan parti politik dalam menganjurkan dialog dan debat intelektual, dan juga ketelusan media arus perdana dalam menyiarkan debat dan dialog tersebut.
Jika kita menyoroti sejarah, bagaimana kisah nabi Musa a.s. ketika berhadapan dengan puluhan ribu ahli sihir yang dikumpulkan oleh Firaun untuk mengalahkan baginda. Walaupun dari sudut keadilan boleh dipertikaikan kerana puluhan ribu ahli sihir melawan seorang nabi, akan tetapi perkara yang menarik ialah pertandingan ini secara terbuka dengan kehadiran pembesar negara dan rakyat jelata dari seluruh Mesir. Penonton dapat menilai secara langsung pihak yang benar dan pihak yang batil.
Kita juga masih ingat bagaimana John McCain berhadapan dengan Obama dalam Final US Presidential Debate. Ketenangan yang dibawa oleh Obama dan cemasnya McCain telah memberikan satu klu kepada pengundi, siapakah yang sebenarnya layak dipilih sebagai presiden di samping keyakinan Obama dalam menyampaikan agenda yang mahu dibawa untuk membangunkan Amerika.
Perlu Disuburkan
Harga petrol yang dijadikan isu perdebatan antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek cukup memberi impak yang besar kepada rakyat. Dengan jelas dan telus rakyat dapat menyaksikan bagaimana hujah yang dilontarkan oleh pemimpin dari pemerintah dan juga pembangkang dalam membela nasib rakyat.
Kesediaan Pas dalam berdialog dengan mana-mana komponena BN menunjukkan kematangan politik yang wujud dalam Pas. Menurut Datuk Husam Musa, Naib Presiden Pas sesi dialog yang bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian masalah tertentu adalah digalakkan dan ia tidak perlu dilakukan secara tertutup.
Tidak kurang hebat juga dengan ajakan debat satu sama satu secara terbuka oleh Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin, Menteri Pembangunan Wilayah dan Pembangunan Bandar kepada anggota parlimen pembangkang berhubung isu penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membiayai skim perumahan kos rendah.
Debat politik anjuran Himpunan Mahasiswa United Kingdom dan Ireland (UKEC) membabitkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Pemuda UMNO dan Rafizi Ramli, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerlahkan kematangan mereka berhujah dan mengetepikan sentimen peribadi dan kepartian. Mereka berhujah dan mencabar minda mengenai Wawasan 2020 dan benarkah Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai taraf negara maju yang tinggal 8 tahun lagi. Sayang sekali debat tersebut dianjurkan di luar Malaysia.
Budaya ini juga mesti disuburkan di dalam kampus, ketepikan dahulu isu AUKU yang sempit. Kita ketengahkan agenda memperkayakan minda mahasiswa. Pihak pentadbiran sewajarnya memberi galakan kepada mahasiswa menganjurkan dialog dan debat intelektual bukannya menyekat secara membuta-tuli. Apa salahnya kita tokoh-tokoh politik seperti Datuk Mustapha Mohamed, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Salahuddin Ayub, Saifuddin Nasution Ismail dan Anthony Loke Siew Fook diundang berdialog di pusat pengajian tinggi? Jawapannya tentu sekali tidak salah, kerana pentadbiran pusat pengajian tinggi sepatutnya tidak ada kepentingan dalam politik.
Harapan Anak Muda
Oleh sebab itu, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) melalui Majlis Politik Nasional (MPN) pernah menawarkan diri sebagai penganjur debat terbuka antara Dato Seri Najib Tun Razak dengan Dato Seri Anwar Ibrahim.
Dialog dan debat intelektual salah satu pemangkin kepada pendidikan politik. Sasaran yang ingin dicapai dalam pendidikan politik ialah wujudnya wa’yu siyasi (kesedaran politik) dalam setiap diri individu. Kita juga mengharapkan media arus perdana selaku medium pengantar maklumat memainkan peranan secara telus dan adil tanpa ada manipulasi dari sudut maklumat.
GAMIS sangat optimis sekiranya budaya ini disuburkan, di Malaysia akan wujudnya parti politik yang mempunyai keazaman politik yang tinggi dan rakyat tersedia dengan pendidikan politik yang baik, dikukuhkan dengan sistem pilihanraya yang telus dan adil. Seterusnya melahirkan politik baru Malaysia.
rushdunk.blogspot.com
rushdunk.blogspot.com