28 Julai 2010

Mutiara Hadis Pilihan 1

Sesiapa yang berperang agar kalimah Allah (tauhid) menjadi yang tertinggi, maka dialah yang berada di jalan Allah.
(Muttafaqun ‘alaih)

Daripada Ibnu Umar r.a. telah berkata: Rasulullah s.a.w. telah memegang bahuk lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau yang melintas sebuah  jalan”. Selanjutnya Ibnu Umar sendiri pula berkata: “Bila engkau berada di petang hari, janganlah engkau menanti sehingga pagi; dan bila engkau berada di pagi hari, janganlah engkau menanti hingga datangnya petang. Manfaatkanlah waktu sihatmu untuk masa sakitmu dan waktu hidupmu untuk bekal kematianmu.
(HR. Bukhari)

Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, tetapi kekayaan yang sebenarnya ialah kayanya jiwa.
(HR. Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah)

Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya.
(HR Tirmizi: Hasan Sahih)

Bukanlah seorang yang kuat itu seorang yang kuat bertinju, tetapi seorang yang kuat ialah yang dapat menguasai dirinya di waktu marah.”
(Muttafaqun ‘alaih)

Amat menghairankan sekali perihal orang yang beriman itu. Sesungguhnya semua keadaannya adalah baik baginya, dan hal ini tidak berlaku melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Apabila ia diberikan kesenangan, iapun bersyukur, maka jadilah hal itu baik baginya; sedangkan apabila dia ditimpa kesukaran (yang memberi mudharat kepadanya) iapun bersabar, lalu jadilah hal demikian itupun baik baginya.
(HR. Muslim)

Sesungguhnya dalam dirimu ada dua perkara yang dicintai oleh Allah iaitu sifat lembut dan cermat (perlahan-lahan kerana berhati-hati dalam bertindak).
(HR. Muslim)

Wallahua’lam...
.::Semoga ianya bermanfaat buat kita semua::.

27 Julai 2010

Hakikat menjual diri...

Assalamu’alaikum w.b.t.

            Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat serta mereka yang meneruskan mata rantai perjuangan baginda s.a.w. sehingga ke hari akhirat.

            Barangsiapa yang mahukan syurga, maka hendaklah ia menjual dirinya kepada Allah. Jual beli ini tidak dapat disempurnakan melainkan apabila ia dapat mengalahkan nafsunya dan mengheretnya supaya tunduk kepada Allah. Dari situ, kita dapat melihat segala gerak dan diamnya, bangun dan duduknya, adalah kerana Allah s.w.t. semata-mata dan bukan lagi untuk memuaskan nafsunya. Firman Allah s.w.t:

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata...
(al-Baqarah: 207)

            Ayat ini telahpun dibuktikan oleh Suhaib ar-Rumi radhiallahu anhu, ketika mana dia telah meninggalkan harta dan rumahnya kepada kaum musyrikin di Mekah supaya dapat digantikan dengan keizinan untuk berhijrah, dia tidak meninggalkan kesemua yang menjadi miliknya itu melainkan kerana dia telah pun menjual dirinya kepada Allah (demi mencari keredhaanNya). Hal ini diketahui oleh Rasulullah s.a.w, lantas baginda bersabda: “Untunglah Suhaib! Untunglah Suhaib!”

            Justeru itu, matlamat berjihad menentang hawa nafsu ialah supaya dapat menguasainya lalu menjualnya kepada Allah. Manakala bukti kebenaran dan keikhlasan jual beli ini pula ialah dengan bersegera untuk berkorban demi mencapai keredhaan Allah s.w.t.  sebagaimana firmanNya:

Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
(as-Soff: 10-11)

Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang di jalan Allah; maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil serta al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
(at Taubah: 111)

            Kesimpulannya, tidak ada kebaikan bagi umat ini melainkan setelah baiknya individunya; dan individu pula tidak akan baik melainkan dengan memperbaiki nafsu di dalam diri. Ini kerana, nafsuadalah salah satu di antara penyebab kebinasaan, kesesatan dan kehancuran seperti yang diperingatkan oleh Allah dalam al-Quran:

...Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya melampau batas.
(al-Kahf: 28)

Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikitpun.
(al-Qasas: 50)

Manakala jihad melawan hawa nafsu pula ada empat peringkat:

1)     Melawannya dengan mempelajari ajaran Allah dan RasulNya, kerana ia adalah bekalan utama untuk memperolehi kejayaan hidup di dunia dan kemenangan di alam akhirat nanti.
2)     Melawannya dengan cara melakukan amal ibadah berasaskan kepada ilmu yang dipelajari tadi, kerana ilmu yang telah dipelajari dan tidak diamalkan tidak akan memberikan banyak manfaat bagi dirinya.
3)     Melawannya dengan cara menyeru dan berdakwah kepada orang lain akan ajaran Islam;  jika tidak mengajarkan kepada orang lain ia akan termasuk dalam golongan orang-orang  yang menyembunyikan wahyu yang telah diturunkan oleh Allah untuk kepentingan seluruh manusia.
4)     Melawannya dengan bersikap sabar menghadapi kesusahan dan kesulitan serta gangguan manusia dalam menjalankan usaha-usaha dakwah di jalan Allah.

Apabila keempat-empat martabat ini dapat dilakukannya secara baik, maka dia akan menjadi salah seorang yang bersifat al-Rabbaniyyin (iaitu orang-orang yang mengerti dan memahami ajaran yang hak, kemudian menagamalkan dan mengajarkan kepada orang lain.

Barang siapa yang memiliki ilmu, kemudian mengamalkan dan mengajarkannya kepada orang lain maka akan mendapat gelaran yang mulia pada pandangan makhluk-makhluk yang berada di langit.

Sekian untuk perkongsian pada kali ini...
Wallahua’lam...

(Sumber: Menuju personaliti rabbani – Dr. Majdi al-Hilali & Fiqh Aulawiyyat – Prof. Dr. Yusuf Abdullah al-Qardhawi)

26 Julai 2010

Dari mimbar masjid rusila..

 Peringatan berharga bagi umat Islam..!

الحمد لله الذى هدنا لهذا وما كنا لنهتدي لو لا ان هدانا الله, اشهد ان لا اله الّا الله وحده لا شريك له, واشهد انّ محمدا عبده ورسوله, اللهم صلّ وسلّم وبارك على آله وصحبه والتابعين الى يوم الدين, اما بعد, يا ايها الذين امنوا اتّقوا الله حقّ تقاته, ولا تموتنّ الّا وانتم مسلمون.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian.

            Marilah kita mendengar amaran dari Allah s.w.t. di dalam al-Quranul Karim:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكاً وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى
قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَى وَقَدْ كُنتُ بَصِيراً 
قَالَ كَذَلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَلِكَ الْيَوْمَ تُنسَى

Dan sesiapa yang berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dia akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti dalam keadaan buta, lalu dia berkata: Wahai Tuhan mengana engkau bangkitkan aku dalam keadaan buta, tidakkah aku dahulu dapat melihat? Tuhan berfirman: Sebenarnya telah datang kepada kamu peringatanKu tetapi kamu melupakannya, maka pada hari ini kamu dilupakan.
(Surah Thoha: 124-126)

Ayat-ayat al-Quran ini merupakan amaran yang keras dari Allah s.w.t. Di mana akibatnya telah dirasakan oleh sebahagian manusia pada hari ini, apabila mereka berpaling dari peringatan Allah s.w.t. Yang dimaksudkan dengan peringatan Allah s.w.t. itu ialah petunjuk Allah s.w.t. yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.  yang terkandung di dalam ajaran Islam. Mereka berada di dalam kesesatan, dalam keadaan teraba-raba, tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang salah. Tidak memahami mana yang memberi manfaat dan mana yang memberi mudharat. Mereka hanyut bersama-sama ideologi-ideologi dan berbagai teori yang dicipta oleh mereka sendiri dengan menggunakan Akal yang disalahgunakan.

            Walaupun mereka dikurniakan akal oleh Allah s.w.t. dan terdapat dikalangan mereka orang-orang yang bijak-pandai, apabila akal dipisahkan dari petunjuk Allah s.w.t, dipisahkan daripada Islam, maka akal tidak akan mampu mengetahui mana yang benar dan mana yang salah. Apabila akal itu tidak mendapat hidayah, tidak mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t. kerana manusia itu walaupun berakal, tergolong dalam golongan bijak pandai, mereka tetap mempunyai kelemahan sebagai makhluk Allah s.w.t. Di antaranya, perkara yang benar-benar memberi kebaikan kepada mereka dan menolak keburukan daripada mereka.

            Apabila ada dikalangan manusia yang berbangga kerana memisahkan diri daripada agama Allah s.w.t, merasakan dirinya sudah cukup dengan kebijaksanaan, dengan ilmu yang sedikit, menolak agama Allah, maka dia tidak mengetahui kebaikan dari agama Allah itu. Matanya buta dari melihat perkara yang benar, sehingga dia merasakan kalau berpegang dengan Islam, dia akan menderita. Kalau berpandu kepada petunjuk Allah s.w.t. sukar mendapat kesenangan, kemewahan hidup yang diimpikan.

            Mereka susah dengan kemewahan dan kesenangan itu kerana tidak ada berkat daripada kurnia yang sedikit di atas dunia ini apabila dipisahkan daripada petunjuk Allah s.w.t. Begitulah juga mereka yang berada dalam kemiskinan juga menderita dengan kemiskinan itu di samping kita melihat berlakunya keruntuhan akhlak, kepincangan budi pekerti manusia, apabila manusia tidak menilai baik dan buruk berdasarkan kepada nilai kemanusian yang serenar.

            Mereka mengukur sesuatu mengikut hawa nafsu bukan mengikut yang sebenar dari Allah s.w.t, maka berlakulah keruntuhan akhlak, berlakulah perkara-perkara yang merendahkan martabat manusia, maksiat, kemungkaran di mana-mana. Mereka tidak boleh menyelesaikan masalah dan mereka mengada-adakan masalah serta mereka sentiasa mencari-cari cara yang direka oleh mereka sendiri, tidak lagi berpandukan kepada petunjuk Allah s.w.t.

            Itulah kepincangan kehidupan dunia apabila manusia membutakan hatinya daripada melihat petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Apakah tidak cukup kepada umat Islam amaran yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. dan penjelasan yang diberi oleh Rasulullah s.a.w:
من احدث في امرنا هذا ما ليس منه فهو ردّ
Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama kamu, dia bukan dari urusan agama kami, maka ia ditolak.

            Semua yang lain dari ajaran Islam ditolak oleh Allah s.w.t, tidak diterima oleh Allah s.w.t. dan segala yang lain dari Islam pasti membawa kesusahan , kesesatan dan penderitaan kepada manusia. Maka wajiblah bagi umat Islam mengingati Allah s.w.t, kembali kepada petunjukNya dan berpegang kepada ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dengan memohon pertolongan dari Allah s.w.t. Dan Allah sentiasa bersama-sama memberi petunjuk kepada orang-orang mahukan petunjuk dari Allah s.w.t. Allah berfirman yang bermaksud:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh pada jalan Kami, Kami akan tunjukkan kepadanya jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.
(Surah al-Angkabut: 69)

            Dan ketahuilah orang-orang yang melupakan ajaran Allah s.w.t. mereka bukan sahaja menderita di dunia bahkan di hari akhirat mereka lebih mendeita lagi. Apabila mereka dibangkitkan oleh Allah s.w.t. dalam keadaan buta, tidak dapat melihat jalan melainkan menuju ke arah neraka Jahannam. Mereka tidak boleh pergi ke arah syurga mahupun ke arah kebaikan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. Mereka dilupakan oleh Allah s.w.t. kerana di atas dunia itu mereka melupakan ajaran Allah.

            Marilah kita mengingatkan diri kita dengan peringatan Allah s.w.t. Marilah kita menyedarikan diri kita dengan petunjuk dari Allah. Marilah kita menginsafkan diri kita dengan bertaubat dan kembali kepada Islam sebagaimana Islam itu dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Kita menolak segala yang lain daripada Islam kerana segala yang lain daripada Islam semuanya akan membawa kesesatan dan kesesatan itu menuju ke arah neraka.

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً

Sesungguhnya bagi kamu, pada diri Rasulullah itu mempunyai teladan yang baik bagi orang yang mengharapkan Allah s.w.t. dan hari akhirat dan sentiasa mengingati Allah dengan sebaik-baiknya.
(Surah al-Ahzab: 21)

بارك الله لى ولكم فى القرآن العظيم ونفعنى واياكم بالآيات والذكر الحكيم, وتقبل منّى ومنكم تلاوته انه هوالسميع العليم, اقول قولى هذا و استغفر الله العظيم لى ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات فاستغفروه انه هو الغفور الرحيم.

25 Julai 2010

Peringatan buat kaki blog...!

Assalamu’alaikum w.b.t.

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga baginda, para sahabat, para tabi’in dan seluruh umat Islam yang meneruskan mata rantai perjuangan baginda s.a.w. sehingga ke hari akhirat.

Ayyuhal Ikhwah wal akhawat,

            Ana merasa terpanggil untuk membicarakan suatu topik yang mungkin kita terlupa dek keseronokan dalam meluahkan segala permasalahan yang dihadapi melalui blog atau ICT yang dianugerahkan Allah ini.

            Apa yang ana nyatakan khusus kepada kaki blog dan pengguna ICT amnya. Ana melihat dalam keadaan kita seronok menjadikan ruangan kemudahan ICT untuk meluahkan perasaan perlunya kita menyedari akan batas-batas larangan Islam. Ini khususnya berkaitan dengan ajaran Islam yang mengajar kita supaya memelihara akan maruah orang lain.

            Ana sangat tidak bersetuju kalau kita menjadikan kemudahan blog ini untuk meluahkan perasaan kita sehinggakan kita tidak mengambil peduli akan perihal maruah seseorang. Jangan menyebabkan kita tidak bersetuju dengan seseorang atau sekolompok manusia menyebabkan kita mendedahkan segala perihal yang tidak baik mereka diruangan blog ini. Cukuplah sekadar kita yang tidak puas hati dan simpan ia sekadar dalam hati dan jika boleh dimaafi, perbuatan tesebut lebih digalakkan dalam Islam.

            Blog adalah ruangan bebas. Jika kita mencatatkan kesalahan-kesalahan ataupun aib-aib individu yang kita tidak puas hati dengannya, maka aibnya akan tersebar dan diketahui oleh masyarakat umum. Ana merasakan, ada molek jika kembali bertanya: “Sebenarnya apakah tujuan kita mengadakan blog?Apakah ianya kerana Allah dan Rasul? Persoalan asas ini mesti dijawab oleh setiap daripada kita (kaki blog) kerana ianya akan menentukan perjalanan blog. Ini bukannya soal remeh temeh, jika persoalan ini tidak dijawab, ianya melibatkan 2 keadaan:

1)Perbuatan kita mencipta blog adalah sia-sia.
2)Ada kemungkinan, blog kita inilah yang akan menghumbangkan tuannya ke neraka Allah Azza wa Jalla. (Na’uzubillahi min zalik)

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيراً مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضاً أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتاً فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ


 “Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
(Surah al-Hujurat: 12)

            Seorang mukmin sentiasa akan melindungi dan menyembunyikan keaiban orang-orang Islam serta menjaga rahsia mereka sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Tiada seorang hambapun yang menutupi cela seseorang hamba yang lain di dunia melainkan dia akan ditutupi celanya oleh Allah pada hari kiamat kelak.
(Hadis riwayat Muslim)

Di antara tanda kesempurnaan Islam seseorang ialah apabila dia meninggalkan perkara yang tidak berkait dengannya, (Yakni yang tidak memberikan kemanfaatan kepadanya di dunia mahupun akhirat)
(Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Ayuhkan kita jadikan blog kita sebagai saham untuk bekalan akhirat...

Wallahua’lam..

24 Julai 2010

Buatmu da'ie - Dr. Abdul Hamid Kusyk..

Assalamu'alaikum w.b.t.



       Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga baginda, para sahabat serta seluruh umat Islam yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

            Dikesmpatan kali ini, ana ingin berkongsi dengan sidang pembaca dengan membawa  ungkapan Dr. Abdul Hamid Kusyk berkaitan dengan kaitan iman dan da'ie.



Saudara seagama!

            Sesungguhnya membina mahligai, gedung-gedung dan pencakar-pencakar langit itu adalah suatu perkara yang mudah bergantung kepada kemahiran di bidang senibina. Tetapi alangkah sulitnya membina jiwa kerana pembinaanya itu merupakan salah satu rahsia yang hanya dapat dicapai oleh orang-orang yang penyabar, yang berpegang teguh kepada Allah dan ikhlas beragama untuk Allah.

Kerja membentuk dan membina jiwa itu adalah merupakan tugas para Nabi, matlamat orang-orang yang ikhlas dan merupakan suatu perniagan dengan Allah bagi setiap orang yang menyeru ke jalan Allah, yang beramal soleh dan mengucapkan kata-kata: Aku adalah dari golongan kaum muslimin!

Kerana itulah maka pembentukan dan pembinaan jiwa berasaskan kebenaran dan pensuciannya melalui amalan kebaikan merupakan suatu tuntutan yang amat besar dan matlamat tertinggi lagi mulia.

Pada suatu hari, Amirul Mukminin Saidina Umar ibn al-Khattab r.a. berdiri di dalam masjid Nabi dan berkata kepada beberapa orang sahabat, “Cubalah setiap seorang di antara kamu memberitahuku tentang keinginannya yang paling besar dalam hidup ini!

Salah seorang di antara mereka menjawab, “Aku ingin miliki emas sebesar gunung Uhud yang boleh aku belanjakan untuk jalan Allah.” Yang lain berkata, “Aku ingin memiliki kuda sepenuh Kota Madinah agar dapataku gunakan untuk berperang ke jalan Allah.” Sementara orang yang ketiga pula berkata, “Aku ingin mempunyai seribu orang hambasahaya yang boleh aku merdekakan semata-mata bagi mendapatkan keredhaan Allah.” Masing-masing yang lain turut menyatakan apa yang diinginkannya, sementara Amirul Mukminin mengendalikan perbincangan sesame mereka itu. Kemudian mereka pun berpaling kepada Saidina Umar dan bertanya, “Dan apakah pula yang menjadi keinginan tuan, wahai Amirul Mukminin?

Umar ibn al-Khattab lalu menjawab, “Aku inginkan masjid ini dipebuhi orang-orang seperti Abu Bakar as-Siddiq!

Semoga Allah memuliakan, wahai Umar! Sungguh tepat kata-katamu. Engkau telah menginginkan sesuatu yang amat besar. Orang-orang seperti Abu Bakar adalah dari golongan yang berjiwa aman dan tenteram dan berhati naluri yang celik. Merekalah yang memenuhkan alam sejagat dengan keamanan, sejahtera, kasih sayang, perpaduan, penghormatan dan kemulian kerana matlamat mereka ialah kebenaran manakala tujuan akhir mereka ialah kebajikan. Pedoman mereka al-Quran dan guru mereka ialah Rasulullah s.a.w. Mereka merupakan jiwa-jiwa yang berasaskan kepada mentauhidkan Allah dan tingkah laku mereka ialah mematuhi Allah semata-mata.

Firman Allah:

وَمَنْ أَرَادَ الآخِرَةَ وَسَعَى لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَئِكَ كَانَ سَعْيُهُم مَّشْكُوراً

Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mu'min, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik.
(Surah al-Isra’: 19)

            Alangkah besarnya peranan iman di dalam pembentukan jiwa dan peribadi. Alangkah mulianya tugas tauhid dalam meluruskan dan menegakkan jiwa.

Firman Allah yang bermaksud:
  
(7)Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya); (8).Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan Yang membawanya kepada kejahatan, dan Yang membawanya kepada bertaqwa; -(9). Sesungguhnya berjayalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), (10) Dan Sesungguhnya hampalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
(Surah as-Syams: 7-10)

            Ya Allah, kami mohon dari-Mu kebaikan di dunia dan di Akhirat, pemeliharaan dari setiap kesalah, keselamatan dari setiap dosa, dan keuntungan dari setiap kebaikan.


(Dipetik daripada: Islam membina jiwa manusia - Dr. Abdul Hamid Kusyk)

Rahsia zuhud di sisi Taqiyuddin Hasan al-Bashri...

Assalamu’alaikum w.b.t.

            Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat serta mereka yang meneruskan mata rantai perjuangan baginda s.a.w. sehingga ke hari akhirat.

            Ramai manusia tercari-cari akan petua dan bagaimana kaedahnya untuk menjdi seorang zahid bagi meraih cinta Allah s.w.t. Pelbagai petua atau kaedah yang dicadangkan oleh para masyaikh. Namun begitu, ana tertarik dengan empat perkara yang diungkapkan dan diamalkan oleh Taqiyuddin Hasan Al-Bashry r.a berkaitan dengan zuhud.

            Ditanya kepada Taqiyuddin Hasan al-Bashry r.a.: “Apakah rahsia zahid tuan mengenepikan dunia?

            Beliau menjawab: “Empat perkara: Aku tahu yang rezekiku tidak akan diambil orang lain, maka hatiku pun menjadi tenteram dan lapang. Aku tahu bahawa amalanku tidak dibuat oleh orang lain, maka aku pun terus mengamalkannya. Aku tahu bahawa Allah sentiasa mengawasiku, lalu aku pun merasa malu jika Dia mendapatiku melakukan maksiat. Dan aku tahu bahawa maut sentiasa menantiku, lalu aku pun menyediakan bekalan untuk mengadap Allah.

(Dipetik daripada: Islam membina jiwa manusia – Dr. Abdul Hamid Kusyk)

Moga ianya bermanfaat kepada kita semua..

Wallahua’lam..

Bilakah kemenangan bagi umat Islam akan kunjung tiba?

Assalamu’alaikum w.b.t.

            Alhamdulillah, selawat & salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga baginda, para sahabat serta seluruh umat Islam yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

            Apa yang ana ingin kongsikan kali ini, bilakah kemenangan yang Allah s.w.t. janjikan akan kunjung tiba bagi umat Islam? Kebanyakan daripada kita telah lama merasai kepahitan yang tak pernah padam berikutan peristiwa demi peristiwa yang menimpa umat Islam. Apatah lagi kini bagi umat Islam di bumi Palestin khasnya, dan umat Islam seluruh dunia amnya. Kegelapan semakin memekat dan keperitan tidak tertanggung lagi, keadaan umat Islam semakin hari semakin buruk.

            Peristiwa kecelakaan yang menimpa umat Islam yang kita dengar dan kita saksikan bukannya berlaku dalam tempoh masa 100 atau 200 tahun kebelakangan ini bahkan berabad-abad lamanya sebelum daripada ini. Kita mendengar daripada sirah umat-umat yang terdahulu, ada dikalangan mereka (umat Islam) yang digergaji kepala mereka sehingga terbelah dua akibat memeluk dan mempertahankan Islam, diseksa, dianiaya, dan sebagainya.

            Pernah beberapa kali dalam perkongsian ilmu yang ana sampaikan kepada masyarakat, seorang lelaki yang lanjut usianya menanyakan kepada ana: “Kita menyaksikan umat Islam terus menerus diuji dengan pelbagai peristiwa yang menyayat hati dan seringkali ditindans serta diperkotak-katikkan…Bilakah kita (umat Islam) akan menang?” (mafhum daripada soalan yang ditanya)..

            Ya, kadang-kadang hati kecil kita sering tertanya-tanya bilakah lagi Islam akan menang? Bilakah lagi kemenangan yang Allah janjikan kepada hambaNya akan kunjung tiba? Apakah di sana tiada kemanisan bagi umat Islam berada dalam keadaan aman dan memerintah bumi ini? Soalan demi soalan yang bermain dalam sanubari kita selaku (umat Islam)..

Firman Allah dalam al-Quran:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Surah al-Angkabut: 1&2)


وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِن بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ 
  
Dan Demi sesungguhnya, Kami telah tulis di Dalam Kitab-kitab Yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu Yang soleh.
(Surah al-Anbiya’: 105)

            Namun persoalannya, apakah generasi kita sudah layak untuk menerima kemenangan daripada Allah? Dan adakah keadaan kita sudahpun bertepatan dengan ciri-ciri hamba Allah yang telah dijanjikan buat mereka kekuasaan di muka bumi ini?

            Jawapannya ada pada diri kita dan umat Islam sekeliling kita setelah mana kita merenung dan menghitung kembali, bagaimana keadaan kita. Apakah keadaan kita hari ini menunjukkan bahawa kita termasuk dalam syarat-syarat kemenangan yang Allah s.w.t. janjikan itu?

Ayuh kita sama-sama hitung diri kita dan penuhi syarat-syarat kemenangan yang dijanjikan Allah kepada hambaNya...

Wallahua’lam...

22 Julai 2010

Menjadi hamba Allah yang berskala besar...

Assalamu’alaikum w.b.t.

            Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat serta mereka yang meneruskan mata rantai perjuangan baginda s.a.w. sehingga ke hari akhirat.

            Dikesempatan kali ini, ana ingin mengajak para pembaca untuk sama-sama kita menjadi seorang hamba Allah yang berskala besar. Namun apakah yang dimaksudkan dengan ‘hamba Allah yang berskala besar’ itu?

            Apa yang ana maksudkan dengan ‘hamba Allah yang berskala besar’ adalah mereka yang berfikir dan melakukan sesuatu perkara untuk jangka masa yang panjang. Apa yang mereka fikirkan dan laksanakan sekarang adalah untuk kepentingan, kemudahan dan kesenangan untuk hari akhirat nanti.

            Bagaimana Islam mengajar kepada penganutnya supaya sentiasa berfikir dan beramal untuk kehidupan sesudah mati. Ini dinyatakan dalam sebuiah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Orang yang berakal ialah orang yang sentiasa memuhasabah dirinya dan beramal untuk sesudah mati manakala orang yang tidak berakal ialah orang yang sentiasa menurut hawa nafsunya dan mengharapkan pengampunan daripada Allah.
(Hadith riwayat Tirmizi: Hasan)

            Begitu juga dalam kitab “Apa Ertinya Saya Menganut Islam?”, Ustaz Fathi Yakan r.h. menyatakan kepada kita bahawa manusia tergolong daripada 3 kumpulan, iaitu:

1)      Golongan yang hidup untuk dunia
2)      Golongan yang sesat di antara dunia dan akhirat
3)      Golongan yang menjadikan dunia sebagai ladang akhirat

Jika kita perhatikan kepada golongan yang dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan r.h. sepastinya golongan yang ketiga adalah golongan yang paling berjaya. Mereka menjadikan dunia sebagai ladang untuk bercucuk tanam supaya hasilnya dapat dipungut di saat manusia sibuk meminta dengan tuhan agar dikembali ke dunia untuk bercuck tanam (beramal).

Allah berfirman:


وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُؤُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحاً إِنَّا مُوقِنُونَ

Dan (sungguh ngeri) sekiranya Engkau melihat ketika orang-orang Yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, Kami telah melihat dan mendengar Dengan sejelas-jelasnya (akan Segala Yang Kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah Kami ke dunia supaya Kami mengerjakan amal-amal Yang baik; Sesungguhnya Kami sekarang telah yakin”.
(Surah as-Sajdah: 12)

            Al-Imam Taqiyuddin atau dengan gelarannya Ibnu Daqiqul ‘Aid pernah menyatakan suatu ungkapan yang hebat tentang dirinya:

Aku tidak akan bercakap dengan suatu percakapan pun dan aku tidak akan berbuat sesuatu pun melainkan di sisiku mempunyai jawapan untuk aku jawab di hadapan Allah Azza wa Jalla.

Oleh itu, ana ingin mengajak diri ana dan sahabat-sahabat sekalian..Ayuh kita menjadi hamba Allah yang berskala besar dalam dalam segala gerak-geri mahupun tindakan kita.

Wallahua’lam..

4 Sifat yang perlu ada pada para pemuda - As-Syahid Imam Hasan Albanna..

As-Syahid Imam Hasan Albanna menegaskan bahawa tunjang kepada keberhasilan sebuah projek yang besar terletak pada para pemuda. Ia menyebutkan 4 karakteristik yang melekat pada para pemuda dan menjamin terwujudnya sebuah kebangkitan yang berkesinambungan. Beliau berkata:

Sesungguhnya sebuah pemikiran itu akan berhasil diwujudkan manakala teguh keyakinan kepadanya, ikhlas dalam berjuang dijalannya, semakin bersemangat dalam merealisasikannya, dan siap untuk beramal mahupun terkonban dalam mewujudkannya.

Keempat-empat rukun di atas ialah:
1)      Keimanan
2)      Keikhlasan
3)      Semangat
4)      Amal

Sesungguhnya dasar kepada keimanan itu adalah hati yang peka..
Dasar kepada keikhlasan itu adalah hati yang jernih..
Dasar kepada semangat itu adalah perasaan yang menggelora..
Dasar kepada amal itu adalah tekad yang membaja..

Itu semua tidak terdapat kecuali pada diri pemuda..

            Oleh kerana itu, sejak dahulu hingga sekarang pemuda merupakan asas kebangkitan setiap umat, rahsia kekuatan pada setia[p kebangkitan, dan pembawa bendera setiap fikrah..

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tukan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk.
(al-Kahfi: 13)
(Dipetik dari: Risalah Ilasy Syabab)

21 Julai 2010

Keutamaan Amalan dalam Harakah Islamiah



7 keutamaan amalan dalam harakah islamiah

1) Amal Tarbawi
2) Amal Siasi
3) Amal Ijtima’ie
4) Amal Iqtisodi
5) Amal Jihadi
6) Amal Da’wa wal I’lami
7) Amal Fikri wal Ilmi

(Dipetik: Kitab Aulawiyyat Harakah Islamiah Fil Marhalatil Qaadimati – Dr. Yusuf Qardhawi)

Yaman menjadi pilihan hatiku...

Assalamu’alaikum w.b.t.

Selawat dalam salam ke atas junjungan besar baginda Muhammad s.a.w. ahli keluarga, para sahabat serta mereka yang meneruskan perjuangan baginda sehingga ke hari akhirat.

Kini era pengajian diperingkat diploma telah pun selesai, ramai dikalangan sahabat yang akan menyambungkan pengajian mereka ke peringkat sarjana muda. Sebahagian mereka ada yang akan menyambung pengajian ke Jordan, Aceh, Lampong (Indonesia) dan ada juga yang menyambung pengajian mereka di Malaysia.

Sebelum daripada ini, ramai yang tertanya-tanya dan menanyakan kepada ana..ke mana ana akan menyambung pengajian ana diperingkat sarjana muda kerana tidak kelihatan dalam taklimat-taklimat sambung belajar yang di anjurkan. Pilihan ana agak berlainan sedikit dengan sahabat-sahabat kerna tempat yang ana pilih tidak termasuk dalam kategori tempat-tempat yang mempunyai perjanjian dengan KIAS. Ianya juga tempat yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Tempat yang ana maksudkan itu adalah Yaman. Sebuah negara yang pernah diungkapkan oleh baginda nabi s.a.w. dalam hadisnya:

(( أتاكم أهل اليمن أرق أفئدة وألين قلوبا الإيمان يمن والحكمة يمانية ))

Maksudnya: (( Telah datang kepadamu ahli Yaman, yang hatinya lembut, iman Yaman dan hikmahnya ahli Yaman )) HR Bukhari dan Muslim.

Ramai dikalangan sahabat ana ada yang tertanya-tanya, kenapa ana memilih Yaman sebagai tempat untuk meneruskan perjuangan ana. Banyak faktor yang menyebabkan ana memilih negara Yaman sebagai medan untuk ana mencari, mengumpul, dan menghafaz ilmu-ilmu Allah. Ada juga yang tertanya-tanya, “Jika anta memilih Yaman (negara yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia) bagaimana nanti bila pulang ke Malaysia?” Soalan sebegitu hanya senyuman yang ana lontarkan, namun hati ana menjawab: “cukuplah Allah yang mengiktiraf ”. Mungkin jawapan sanubari ana ini ramai yang tidak berpuas hati, tapi insyaAllah ana yakin Allah pasti menolong hambaNya dan ana telah bertekad apa yang ana akan usahakan 15 atau 20 tahun kelak (Perancangan ana untuk 15 atau 20 tahun nanti telah pun dilakarkan dalam sanubari). Moga-moga Allah permudahkan segala urusan hambaNya di dunia ini.

Gambar bandar Yaman

Apa pun, doakanlah moga-moga ana sentiasa berada dalam keredhaan maghfirahNya selalu...

.::coretan kehidupan seorang hamba mencari keredhaan ILAHI::. Copyright © 2011 | Template created by O Pregador | Powered by Blogger